TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis guna saluran G2G siasat laporan Bloomberg libatkan Azam Baki

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan melalui saluran kerajaan kepada kerajaan (G2G) atau antara agensi bagi membantu siasatan terhadap artikel disiarkan Bloomberg yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu diambil bagi mendapatkan kerjasama pihak berkaitan memandangkan individu yang terlibat dalam penerbitan laporan tersebut dipercayai berada di luar negara.

“Kita memang telah pergi ke pejabat Bloomberg di Menara Petronas. Kita telah bertemu beberapa staf dan dimaklumkan mereka yang berkaitan berada di luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Azam Baki didakwa memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau juga dilaporkan mengemukakan surat tuntutan terhadap Bloomberg menerusi firma guaman Zain Megat & Murad berhubung laporan tersebut.

Menurut kenyataan media sebelum ini, kandungan laporan, cadangan dan sindiran dalam penerbitan itu didakwa bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab serta mengelirukan selain menjejaskan maruah, kredibiliti dan integriti institusi Ketua Pesuruhjaya SPRM. 

+ - reset