Berita Berita
Krisis minyak global: Konflik AS-Iran cetus risiko defisit 10 juta tong sehari
KUALA LUMPUR 19 Dis – Dunia berdepan risiko krisis bekalan tenaga global apabila pasaran minyak dijangka mengalami defisit besar mencecah antara 9.7 hingga 10 juta tong sehari susulan konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran.
Menurut laporan Commodity Compass oleh OCBC, pelan kontingensi sedia ada gagal menampung kehilangan bekalan minyak secara mengejut dari Asia Barat, sekali gus memberi tekanan besar kepada pasaran global.
Situasi bertambah kritikal apabila trafik kapal tangki di Selat Hormuz menjadi perlahan akibat risiko keselamatan yang meningkat. Laluan maritim penting itu kini seolah-olah ditutup, menyebabkan aliran minyak ke pasaran antarabangsa hampir terhenti.
“Selat Hormuz merupakan titik sempit minyak paling signifikan di dunia selepas Selat Melaka, dengan kira-kira 20 juta tong minyak mentah dan cecair petroleum melalui laluan itu setiap hari,” jelas laporan berkenaan, yang mewakili kira-kira 20 peratus penggunaan global.
Beberapa langkah mitigasi telah dilaksanakan termasuk penggunaan saluran paip alternatif dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang mampu menampung sekitar 5.5 juta tong sehari.
Selain itu, eksport Iran dianggarkan masih berjalan pada kadar 1.5 juta tong sehari, manakala negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa dijangka melepaskan inventori sekitar 3.3 juta tong sehari.
Bagaimanapun, gabungan langkah tersebut hanya mampu mencapai kapasiti mitigasi sekitar 10.3 juta tong sehari dan masih belum mencukupi sekiranya penutupan Selat Hormuz berterusan.
“Meskipun wujud langkah pemampan ini, penutupan berpanjangan Selat Hormuz masih akan meninggalkan pasaran minyak dengan kekurangan harian kira-kira 10 juta tong,” menurut laporan itu lagi.
Keadaan ini turut memaksa semakan semula unjuran harga minyak dunia. Sebelum konflik, harga minyak mentah Brent berada sekitar AS$69 setong, namun kini dijangka kekal tinggi sekitar AS$100 setong sehingga pertengahan tahun ini sebelum menurun ke paras AS$70 setong menjelang suku pertama 2027.
Bagi pasaran NYMEX WTI, harga diunjurkan meningkat kepada sekitar AS$97.2 setong berbanding sasaran awal AS$66.0 setong.
Krisis ini dilihat memberi tekanan besar kepada keseimbangan makroekonomi global selain meningkatkan risiko keselamatan tenaga dunia, dengan kebimbangan gangguan sementara boleh bertukar menjadi kehilangan bekalan kekal sekiranya telaga minyak gagal diaktifkan semula.
Berita berkaitan
March 19, 2026, 2:02 pm
Polis guna saluran G2G siasat laporan Bloomberg libatkan Azam Baki
March 19, 2026, 1:23 pm
Polis nafi layanan berbeza terhadap Zamri Vinoth, Arun Dorasamy
March 19, 2026, 1:06 pm
Tamim Dahri sedia pulang, letak syarat empat kuil dirobohkan
March 19, 2026, 12:54 pm
PENBUMI gesa subsidi diesel bersasar selamatkan industri pelancongan darat
March 19, 2026, 12:52 pm
Sultan Selangor seru rakyat berjimat hadapi ketidaktentuan ekonomi global
March 19, 2026, 12:47 pm
Dua maut nahas dua kenderaan berhampiran Felcra Sungai Ara
March 19, 2026, 12:40 pm
Polis buru lelaki belasah isteri, langgar kepala dengan motosikal di Melaka
March 19, 2026, 12:39 pm
Pekerja taska berdepan hukuman mati didakwa bunuh bayi empat bulan di Seberang Jaya
March 19, 2026, 12:10 pm
