TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KJ yakin UMNO masih ada asas kukuh untuk bangkit

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Mac – Khairy Jamaluddin menegaskan UMNO masih mempunyai asas yang kukuh untuk dipulihkan dan kembali meraih sokongan masyarakat Melayu, meskipun landskap politik ketika ini menyaksikan perpecahan ketara.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu bagaimanapun mengakui kedudukan politik Melayu kini semakin lemah sama ada dari sudut persepsi mahupun realiti susulan kewujudan terlalu banyak parti yang memecahkan kekuatan.

"Itulah yang dirasai oleh sebahagian daripada orang Melayu bahawa terlalu banyak parti politik Melayu yang boleh memecahkan kekuatan bangsa itu sendiri.

"Namun saya masih yakin dengan kekuatan UMNO, tapi perlu akui ada kesilapan dan kelemahan terutama apa yang berlaku menjelang Pilihan Raya Umum 2018," katanya dalam podcast Keluar Sekejap.

Isnin lalu, beliau secara rasmi memohon agar pemecatan keahliannya daripada parti itu dibatalkan dengan nombor keahlian asal diaktifkan semula.

Perkara itu dimaklumkan ketika mengulas tindakannya menyerahkan surat rayuan berkenaan kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, atas semangat Rumah Bangsa dalam satu pertemuan.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki segala kelemahan dalam parti.

"Tetapi kalau saya nak istilahkan UMNO ini sebagai sebuah rumah, tiang seri, asas dan kerangka rumah... ia sudah mempunyai 'tulang' yang baik.

"Rumah yang ada 'tulang' yang baik ini, kalau dapat dihias dengan baik, dicantikkan dan diperbetulkan dengan baik oleh semua pihak, saya percaya semua sedang berusaha untuk melakukan apa yang saya sebut.

"Ia akan dilihat dalam konteks yang berbeza berbanding ketika PRU 2018," katanya.

Ditanya mengenai pendiriannya untuk kekal bersama UMNO, beliau menjelaskan keyakinan terhadap perjuangan parti serta struktur asasnya menjadi faktor utama untuk tidak menyertai mana-mana parti lain.

"Sejak dipecat UMNO, saya tidak pergi kepada parti lain walaupun ada tawaran dari hampir semua parti utama kerana pilihan pertama saya adalah untuk kembali ke UMNO.

"Saya lihat sejak dua tiga tahun lalu, tidak banyak perubahan atau reformasi ketara dapat dilihat dalam landskap politik, namun UMNO dilihat kurang berdepan isu dalaman berbanding sebelum ini.

"Dari sudut kestabilan dan kesepaduan parti pula, UMNO adalah parti dalam kerajaan yang kurang isu," katanya.

+ - reset