Berita Berita
MCMC bakal ambil tindakan undang-undang terhadap X dan xAI berhubung isu keselamatan Grok
CYBERJAYA 13 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi akan memulakan tindakan undang-undang terhadap X Corp (X) dan xAI LLC berhubung kegagalan penyedia platform itu memastikan keselamatan pengguna di Malaysia, khususnya berkaitan penggunaan Grok.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, MCMC memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok bagi menjana serta menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
“Peguamcara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara amat membimbangkan kerana perbuatan sedemikian jelas menyalahi undang-undang Malaysia serta bercanggah dengan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti terlibat.
Menurut suruhanjaya itu, notis telah dikeluarkan kepada X dan xAI LLC masing-masing pada 3 dan 8 Januari lalu bagi mengarahkan penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang, namun tiada sebarang tindakan pemulihan diambil oleh kedua-dua syarikat berkenaan.
“X dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna,” tegas MCMC.
MCMC menjelaskan, X dan xAI LLC kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan serta langkah mitigasi risiko bagi Grok.
“Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi. MCMC juga mengambil maklum kegagalan X dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri.
“Kegagalan ini berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan Malaysia telah mengenakan sekatan terhadap Grok berkuat kuasa Ahad lalu, sekali gus menyebabkan pengguna tempatan tidak dapat mengakses platform model kecerdasan buatan (AI) berkenaan.
Berita berkaitan
March 19, 2026, 11:55 pm
Remaja parah gegendang telinga pecah, patah hidung angkara ubah suai mercun bola di Seremban
March 19, 2026, 11:34 pm
Lelaki belasah, lenyek kepala isteri hamil akhirnya ditahan polis
March 19, 2026, 10:18 pm
Polis tumpas sindiket ‘mini kasino’ berselindung di sebalik syarikat sukan di Bukit Damansara
March 19, 2026, 8:15 pm
Malaysia sambut Aidilfitri pada 21 Mac 2026
March 19, 2026, 7:14 pm
Anwar ucap tahniah Anutin jadi Perdana Menteri Thailand
March 19, 2026, 4:23 pm
KJ yakin UMNO masih ada asas kukuh untuk bangkit
March 19, 2026, 4:00 pm
'Tak larat nak hadap jem' - Perantau pilih kereta api pulang beraya
March 19, 2026, 2:17 pm
Krisis minyak global: Konflik AS-Iran cetus risiko defisit 10 juta tong sehari
March 19, 2026, 2:02 pm
