Berita Berita
Najib kembali ke Mahkamah Tinggi bela diri dalam saman sivil SRC RM42 juta
KUALA LUMPUR 13 Jan – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Mahkamah Tinggi untuk memberi keterangan dalam saman sivil berjumlah RM42 juta yang difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap beliau.
Perbicaraan itu berlangsung beberapa minggu selepas Najib disabitkan kesalahan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib, 72, yang merupakan defendan tunggal dalam kes berkenaan, menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tuntutan SRC dan mendakwa saman tersebut cacat kerana cuba memperibadikan keputusan institusi serta menggambarkan beliau seolah-olah mengawal urusan syarikat itu.
Menurut beliau, berdasarkan Perlembagaan SRC dan Akta Syarikat, pengurusan syarikat terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab Lembaga Pengarah (BOD) dan pegawai-pegawai syarikat.
“Sebarang kelulusan atau persetujuan yang berkaitan dengan jawatan awam saya adalah selepas melalui proses BOD dan tidak menjadikan saya sebagai pengarah bayangan atau pengarah de facto,” katanya dalam pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Najib turut menafikan dakwaan bahawa Memorandum dan Artikel Persatuan SRC memberinya kuasa mutlak ke atas syarikat tersebut, sebaliknya menjelaskan peruntukan itu hanya melibatkan persetujuan atau nasihat pemegang saham berkaitan kepentingan negara dan tidak membolehkan beliau mengeluarkan arahan mengikat kepada BOD.
Beliau berkata, plaintif cuba membuat inferens bahawa wujud hubungan sebagai pengarah bayangan, namun tiada bukti menunjukkan BOD bertindak atas arahannya.
“Rekod menunjukkan keputusan dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan, perbincangan BOD serta kelulusan pemegang saham melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc, bukan arahan daripada saya,” katanya.
Najib juga menolak dakwaan bahawa minit mesyuarat MOF Inc membuktikan beliau mengeluarkan arahan kepada SRC, sambil menegaskan mesyuarat pemegang saham berada di luar saluran tadbir urus BOD.
“Walaupun minit mesyuarat pemegang saham adalah sah, ia tidak membebaskan pengarah daripada tanggungjawab membuat pertimbangan secara bebas,” jelasnya.
SRC sebelum ini menggugurkan saman terhadap lima bekas pengarah termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, namun Mahkamah Tinggi membenarkan Najib mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.
Dalam keterangannya, Najib menegaskan beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak memindahkan wang SRC ke akaunnya dan tidak mengetahui RM42 juta yang diterima berasal daripada SRC.
“Saya tidak menggunakan Nik Faisal atau sesiapa sebagai perantara untuk mengarahkan pemindahan wang itu. Jika ada pihak mendakwa bertindak atas arahan Perdana Menteri, ia bukan dengan kebenaran saya dan bercanggah dengan prinsip tadbir urus korporat,” katanya.
Saman yang difailkan pada 2021 itu menuntut deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab atas penerimaan RM42 juta berkenaan, selain menuntut ganti rugi atas dakwaan penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, salah laku dalam jawatan serta penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
Berita berkaitan
January 13, 2026, 11:06 pm
Tak sempat hadiri kursus, CEO syarikat, dua pekerja maut MPV dinaiki bertembung van di Gua Musang
January 13, 2026, 7:41 pm
Akmal Saleh luah isi hati kepada Ahmad Zahid
January 13, 2026, 5:22 pm
Ahmad Zahid sahkan sudah bertemu Akmal Saleh
January 13, 2026, 5:15 pm
Hotel didakwa ‘gay friendly’ di Melaka tutup sementara operasi
January 13, 2026, 5:10 pm
KDN nafi imej reka bentuk pasport dan MyKad baharu tular di media sosial
January 13, 2026, 5:06 pm
MCMC bakal ambil tindakan undang-undang terhadap X dan xAI berhubung isu keselamatan Grok
January 13, 2026, 5:00 pm
Konstabel disyaki tampar penunggang motosikal dipanggil bertugas bantu operasi trafik
January 13, 2026, 2:39 pm
