Berita Berita
KJ kembali hadiri PAU 2025 selepas dipecat UMNO
KUALA LUMPUR 15 Jan – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kembali menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pagi ini, hampir dua tahun selepas dipecat daripada parti itu pada Januari 2023.
Khairy dilihat mengiringi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memasuki Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menghadiri persidangan sayap parti berkenaan.
Turut kelihatan hadir ialah seorang lagi bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Semalam, Dr Muhamad Akmal mengesahkan kehadiran bekas Menteri Kesihatan itu dan menyifatkan Khairy, atau lebih dikenali sebagai KJ, sebagai tokoh penting yang sentiasa dihormati oleh Pemuda UMNO.
Sejak dipecat, Khairy aktif dalam platform audio siar yang diasaskannya, Keluar Sekejap, yang kini mempunyai lebih 421,000 pengikut di YouTube. Beliau juga bertugas sebagai penyampai radio di Hot FM.
Sebelum ini, timbul desas-desus kuat bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu bakal kembali menyertai UMNO sejak Oktober tahun lalu. Namun, Khairy beberapa kali menegaskan pendiriannya untuk tidak menyertai mana-mana parti lain atas dasar kesetiaan kepada UMNO.
Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 susulan kritikannya terhadap kepimpinan tertinggi parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pada PRU berkenaan, beliau bertanding di Parlimen Sungai Buloh dan meskipun tewas, berjaya memperoleh jumlah undi yang dianggap memberangsangkan serta memecah dominasi besar Pakatan Harapan di kawasan itu.
Dalam kerjaya politiknya, Khairy pernah memegang beberapa portfolio penting dalam Kabinet, termasuk Menteri Belia dan Sukan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan pencapaian cemerlang seperti penganjuran Sukan SEA 2017 serta pelaksanaan Program Podium Majlis Sukan Negara.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, selain terlibat secara langsung dalam pembangunan aplikasi MySejahtera dan perolehan vaksin negara ketika pandemik Covid-19.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khairy diamanahkan sebagai Menteri Kesihatan dan memainkan peranan utama dalam pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 di seluruh negara.
Berita berkaitan
January 15, 2026, 11:29 am
JPJ Selangor tingkat penguatkuasaan, 2,712 saman kenderaan berat dikeluarkan langgar larangan waktu puncak
January 15, 2026, 11:02 am
Tiga rentung dalam kebakaran besar babit empat kilang di Banting
January 15, 2026, 10:54 am
Dua beradik dicekup KPDN simpan 250 liter petrol guna tangki ubah suai
January 15, 2026, 10:38 am
Kes dakwaan kecuaian IUCD di Klinik Kesihatan Pekan Nanas disiasat
January 15, 2026, 10:13 am
Pekerja tapak projek gempar jumpa bom lama seberat 227kg di Jasin
January 15, 2026, 9:25 am
Warga emas ditemukan meninggal dunia jatuh skuter elektrik di Sabak Bernam
January 15, 2026, 8:06 am
Tujuh polis disyaki terlibat dadah digantung tugas sementara menunggu keputusan mahkamah
January 14, 2026, 10:54 pm
Awas, rakyat tipu maklumat STR boleh dikenakan tindakan undang-undang - MoF
January 14, 2026, 10:14 pm
