Berita Jenayah
Doktor muda didakwa bunuh isteri, anak lima tahun, cuba hapus bukti
JOHOR BAHRU 16 Jan - Seorang doktor klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas empat pertuduhan termasuk membunuh isteri dan anak lelakinya di sebuah kediaman di Bandar Dato’ Onn, pada Disember lalu.
Tertuduh, Chia Tong Hong, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Majistret secara berasingan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret A Shaarmini.
Bagi dua pertuduhan utama, tertuduh didakwa dengan niat membunuh isterinya, Phun Lai Ling, 37, serta anak lelakinya, Aaden Chia Yee Heng, 5, sehingga menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Perjiranan 11/12, Bandar Dato’ Onn di sini antara jam 9.50 malam hingga 10.34 malam, 30 Disember 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan sehingga 12 kali, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret Atifah Hazimah, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dengan mengubah kedudukan mayat anaknya ketika siasatan kes bunuh dijalankan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 8.10 pagi, 31 Disember 2025 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nabilah Nizam, tertuduh mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan melupuskan kuku palsu milik isterinya dengan niat mengelakkan hukuman undang-undang.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nurul Fatihah Mohd Nizam dan Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Bernard George.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula termasuk serahan dokumen pada 17 Mac ini sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, forensik dan toksikologi.
Berita berkaitan
June 15, 2026, 2:03 pm
Lubuk judi residensi mewah tumpas, polis tahan 15 individu dan rampas kokain
June 15, 2026, 10:12 am
Saling kenal dari sekolah sama, polis siasat kes pergaduhan dua pelajar di padang bola masjid
June 14, 2026, 12:46 pm
Kanak-kanak dua tahun didera bapa tiri, suspek dicekup depan hospital
June 11, 2026, 4:48 pm
Hanya kerana hon, penunggang motosikal ditetak dengan pisau pemotong daging
June 9, 2026, 8:01 pm
Buat 'wheelie' di ibu kota: Polis berkas empat remaja susulan video tular
June 3, 2026, 1:29 pm
Pekerja dalang samun kedai serbaneka ditahan akibat tertinggal selipar
June 2, 2026, 3:10 pm
Padah tunjuk aksi ‘wheelie’ dalam video tular, dua penunggang bersama pembonceng dicekup
May 30, 2026, 11:09 am
Pemandu Myvi tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh rempuh operator wanita di Danga Bay
May 25, 2026, 8:23 pm
