TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis Thailand buru wanita Malaysia disyaki dalang sindiket ganja RM1.82 juta

By
|
Kongsi
image

 

PASIR MAS 21 Jan - Polis Thailand sedang meningkatkan kerjasama rentas sempadan dengan pihak berkuasa Malaysia bagi menjejaki seorang wanita warga Malaysia yang dipercayai terbabit sebagai tokan dadah, susulan rampasan ganja bernilai RM1.82 juta oleh polis Malaysia, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Thun Sirikhunt, berkata pihaknya setakat ini gagal mengesan suspek dikenali sebagai Luna, berusia lingkungan 30-an, walaupun usaha pencarian telah dijalankan.

Bercakap kepada media Malaysia hari ini menerusi penterjemah tempatan, beliau berkata pihaknya memohon maklumat lanjut daripada pihak polis Malaysia bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek.

"Maklumat awal yang diperoleh mendapati wanita berkenaan dipercayai mempunyai dua kerakyatan. Usaha pencarian telah dijalankan di sekitar pekan Sungai Golok, namun sehingga kini pihak kami masih belum menerima sebarang maklumat baharu atau berjaya mengesan suspek," katanya.

Pada 11 Januari, Bernama melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dengan penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan 52 kilogram bunga ganja bernilai RM1.82 juta dalam dua siri serbuan di Kuala Krai, pada 3 Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dilapor berkata sindiket yang aktif sejak September 2024 itu, dipercayai didalangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an dari negara jiran dan disyaki mempunyai dwikerakyatan. 

+ - reset