TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Murid masuk Tahun Satu usia enam tahun tamat sekolah menengah pada umur 16 - KPM

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 21 Jan - Kanak-kanak yang memulakan persekolahan lebih awal menerusi kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun (5+) bagi sesi 2027 dijangka menamatkan pendidikan menengah atas lebih awal, iaitu ketika berusia 16 tahun.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi dokumen Soalan Lazim (FAQ) memaklumkan, kumpulan murid terbabit tidak akan melalui tempoh dua tahun di Tahun Satu, sebaliknya mengikuti struktur persekolahan sedia ada melibatkan enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun pendidikan menengah.

“Murid akan mengikuti peringkat menengah selama lima tahun dan tamat peringkat menengah atas pada umur 16 tahun (15+),” menurut dokumen yang disediakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM.

KPM menegaskan bahawa kemasukan awal itu bersifat pilihan dan tidak diwajibkan, selain bergantung sepenuhnya kepada kesediaan kanak-kanak yang telah mengikuti prasekolah pada usia lima tahun serta melepasi saringan diagnostik yang ditetapkan.

Bagi memastikan kualiti pembelajaran terpelihara, kementerian turut menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 yang disesuaikan dengan tahap kognitif murid, termasuk bagi kanak-kanak yang mungkin belum mengikuti prasekolah, agar mereka dapat menguasai kemahiran asas dengan berkesan.

Dari segi prasarana, KPM merancang pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menampung keperluan murid di seluruh negara.

Dalam masa sama, kementerian komited memastikan bekalan guru mencukupi melalui pelbagai saluran latihan, termasuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (PDPP) serta pelantikan secara Kontrak Perkhidmatan (COS).

Dasar kemasukan awal itu merupakan sebahagian daripada fleksibiliti sistem pendidikan negara bagi memberi peluang kepada kanak-kanak yang mencapai tahap kesediaan akademik lebih awal untuk memulakan persekolahan formal sebelum usia lazim tujuh tahun.

 

+ - reset