Berita Berita
Pas Selangor cadang ladang babi berpusat dari Bukit Tagar dipindah ke Pulau Ketam
SHAH ALAM 21 Jan - Pas Selangor mengemukakan cadangan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pemindahan lokasi pembinaan ladang ternakan babi berpusat menggunakan kaedah Modern Pig Farming (MPF) dari Bukit Tagar, Hulu Selangor ke Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, bagi mengelakkan isu sensitiviti agama.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan Pas Selangor, Ir Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata Pulau Ketam yang majoriti penduduknya bukan Islam dilihat lebih sesuai dan tidak menjejaskan kehidupan masyarakat Islam.
“Di Pulau Ketam, tiada loji rawatan air (LRA) kerana bekalan air bersih penduduk diperoleh dari daratan Klang, maka isu pencemaran sungai tidak timbul.
“Jika perancangan dibuat dengan teliti, keperluan daging babi bagi masyarakat bukan Islam boleh dipenuhi tanpa menjejaskan kehidupan serta sensitiviti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Nurul Islam, kerajaan Selangor juga boleh mencontohi Singapura yang menternak kira-kira 70 peratus keperluan babinya di Pulau Bulan yang disewa dari Indonesia.
Beliau berkata, sejak awal isu cadangan ladang babi berpusat di Selangor dibangkitkan, kerajaan negeri didakwa gagal membuat perancangan rapi sebelum mengumumkan keputusan.
“Kerajaan negeri sepatutnya menjalankan kajian menyeluruh termasuk melalui prosedur Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), khususnya apabila melibatkan kawasan pertanian serta perladangan berskala besar,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada EIA telah dilaksanakan memandangkan projek berkenaan melibatkan keluasan antara 20 hingga 500 hektar seperti diwajibkan mengikut peraturan sedia ada.
Selain itu, Nurul Islam membangkitkan persoalan berkaitan struktur pengurusan ladang berpusat tersebut, termasuk nasib pemilik kandang kecil sedia ada sekiranya pengurusan diserahkan kepada sebuah syarikat besar.
“Jika hanya satu syarikat menguruskan ladang berpusat, bagaimana pula dengan pemilik kandang kecil yang mungkin kehilangan punca pendapatan?” soalnya.
Katanya, pengurusan sisa pepejal dan cecair hasil loji biogas juga perlu diberi perhatian serius kerana isu sama pernah menjadi punca kegagalan kelulusan EIA bagi projek loji biogas di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Nurul Islam mengingatkan kerajaan negeri berhubung ketegasan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya tiada dana awam digunakan bagi projek berkenaan.
“Persoalan utama ialah sama ada sisa najis babi daripada ladang seluas kira-kira 500 ekar itu mampu memberikan pulangan pelaburan (ROI) yang munasabah kepada pelabur.
“Siapakah yang akan melabur dan membina loji biogas serta infrastruktur lain? Adakah jumlah sisa najis daripada ladang seluas itu benar-benar boleh menjamin pulangan kepada pelabur?” soalnya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi cadangan pemindahan ladang ternakan babi secara berpusat ke Bukit Tagar, namun bersedia menyemak semula pilihan lokasi lain sekiranya terdapat keperluan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata setakat ini tiada tapak lain diputuskan bagi memindahkan semua ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar.
Berita berkaitan
January 21, 2026, 12:49 pm
JAIS siasat Facebook Masjid Bandar Tasik Puteri muat naik hantaran berunsur politik kepartian
January 21, 2026, 12:30 pm
Wee Ka Siong dirawat akibat jangkitan paru-paru
January 21, 2026, 12:18 pm
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tegur dua timbalan menteri berbual ketika sidang
January 21, 2026, 12:15 pm
'Saya anak Kampung Baru Cina, saya dapat A+ Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dalam STPM' - Kor Ming
January 21, 2026, 12:12 pm
Pendaftaran murid enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula 2027
January 21, 2026, 12:01 pm
Penunggang motosikal ditahan polis lepas aksi 'superman' tular
January 21, 2026, 11:55 am
Kecuaian pemandu punca utama kemalangan, bukan reka bentuk jalan – Nanta
January 21, 2026, 11:40 am
Mara siasat dakwaan penderaan kanak-kanak di taska swasta Shah Alam - Asyraf Wajdi
January 21, 2026, 11:28 am
