Berita Berita
Ujian kelayakan kanak-kanak enam tahun bercanggah prinsip pendidikan inklusif – Anuar Ahmad
KUALA LUMPUR 22 Jan – Pelaksanaan ujian diagnostik atau saringan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Tahun 1 disifatkan bercanggah dengan prinsip asas pendidikan awam yang sepatutnya bersifat inklusif.
Pakar pendidikan, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, ujian diagnostik tidak seharusnya digunakan sebagai alat pemilihan kerana fungsinya adalah untuk mengenal pasti keperluan pembelajaran murid, bukannya menapis atau mendiskriminasi kanak-kanak.
“Ujian diagnostik atau ujian pengesanan hanya bertujuan mengenal pasti keperluan murid. Ia bukan untuk menentukan siapa layak atau tidak layak masuk sekolah. Dalam konteks ini, istilah ujian diagnostik itu sendiri tidak tepat,” katanya.
Menurut beliau, apa yang dicadangkan sebenarnya adalah ujian kelayakan yang bersifat isihan, sekali gus bercanggah dengan prinsip pendidikan awam.
“Mana mungkin kanak-kanak yang baru berusia lima tahun diberi ujian kelayakan untuk menentukan sama ada mereka boleh masuk Tahun 1 atau tidak?” soalnya.
Anuar mempersoalkan asas penilaian yang digunakan, termasuk kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sedangkan kanak-kanak berkenaan masih belum melalui pendidikan formal.
“Jika dinilai berdasarkan 3M, itu tidak munasabah kerana mereka belum lagi memasuki sistem pendidikan formal,” jelasnya.
Beliau turut menolak penilaian berdasarkan kestabilan emosi dan keupayaan kognitif, dengan menegaskan tiada teori perkembangan kanak-kanak yang menyokong anggapan bahawa kanak-kanak berusia lima tahun mempunyai kestabilan emosi yang boleh diukur secara objektif.
“Pada usia lima tahun, pembangunan kognitif masih belum lengkap sepenuhnya dan sangat dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi keluarga, latar belakang pendidikan ibu bapa serta sokongan kemudahan di rumah,” katanya.
Tambah beliau, keadaan itu akan memberi kelebihan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan tinggi, manakala kanak-kanak daripada keluarga miskin dan terpinggir akan terus ketinggalan.
“Ini jelas tidak adil. Pendidikan awam wajib bersifat inklusif dan tidak boleh sama sekali menjadi eksklusif,” tegasnya.
Anuar berkata, menafikan hak kanak-kanak berumur enam tahun untuk memasuki sekolah, sedangkan sebahagian kanak-kanak lain dibenarkan masuk, adalah bercanggah dengan prinsip keadilan pendidikan dan nilai kemanusiaan.
“Ia bukan sahaja meningkatkan jurang pendidikan, malah membelakangkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta menafikan hak asasi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan asas,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang dasar pendidikan yang mengehadkan akses melalui ujian kelayakan perlu diteliti semula kerana berpotensi menjejaskan usaha merapatkan jurang pendidikan negara.
Berita berkaitan
January 22, 2026, 3:32 pm
Beberapa kementerian dalam radar SPRM babit ketirisan perolehan - Azam Baki
January 22, 2026, 3:22 pm
SPRM tahan 'Tan Sri' disyaki scam duit pelabur lebih RM300 juta
January 22, 2026, 2:29 pm
'143 negara dah lama laksana Tahun Satu pada usia enam tahun' - Nurul Izzah
January 22, 2026, 2:18 pm
PN terus berteka-teki mengenai pelantikan pengerusi baharu
January 22, 2026, 2:09 pm
Lelaki menyamar polis ditahan, ugut remaja di Batu Berendam
January 22, 2026, 2:01 pm
Penjawat awam mula terima kenaikan gaji Fasa Kedua SSPA bermula hari ini
January 22, 2026, 1:36 pm
Kemasukan Tahun 1 usia enam tahun bukan 'eksperimen' - Fadhlina
January 22, 2026, 12:22 pm
Pelajar UiTM perkasa literasi komunikasi murid luar bandar menerusi program PR Cilik
January 22, 2026, 12:07 pm
Inkues Zara Qairina: Jumpa bukti baharu, mahkamah panggil semula bekas ketua warden
January 22, 2026, 12:06 pm
