Berita Dunia
AS secara rasmi keluar WHO selepas 80 tahun, henti semua pembiayaan
WASHINGTON 23 Jan - Amerika Syarikat (AS) secara rasmi menamatkan keanggotaannya dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus mengakhiri hampir lapan dekad penglibatan negara itu dalam agensi kesihatan global berkenaan.
Langkah itu dibuat selepas pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan melengkapkan sepenuhnya proses penarikan diri daripada WHO pada Khamis.
Menurut CNN, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) AS memaklumkan tindakan berkenaan diambil bagi memastikan dasar kesihatan negara tidak lagi terikat dengan pihak asing.
Trump sebelum ini mengemukakan notis melalui perintah eksekutif pada hari pertama penggal keduanya pada awal tahun lalu, bagi memastikan AS meninggalkan organisasi itu secara sah.
Mengikut peraturan, AS perlu memberi notis setahun dan melunaskan semua yuran tertunggak, namun pakar berpendapat negara itu tidak akan membayar hutang berkenaan.
HHS turut mengesahkan semua pembiayaan kerajaan AS kepada WHO kini ditamatkan sepenuhnya, termasuk penarikan balik semua petugas dan kontraktor yang ditugaskan di organisasi berkenaan.
Selain itu, AS juga berhenti menyertai sebarang jawatankuasa, badan kepimpinan serta kumpulan kerja teknikal yang ditaja WHO.
Seorang pegawai kanan pentadbiran menyifatkan langkah itu sebagai janji yang ditepati, dengan mendakwa WHO bertindak bertentangan dengan kepentingan rakyat AS.
Beliau mendakwa, AS tidak memperoleh pulangan setimpal dengan nilai kewangan dan sumbangan tenaga pakar yang diberikan kepada WHO selama ini.
Menurut CNN, AS turut mengkritik kegagalan WHO dalam menangani pandemik COVID-19 yang didakwa lewat mengisytiharkan darurat sehingga mengorbankan banyak nyawa.
Pentadbiran Trump juga mendakwa kepimpinan WHO lebih cenderung menyokong maklum balas China walaupun terdapat bukti awal mengenai penindasan maklumat berkaitan jangkitan.
Bagaimanapun, pakar undang-undang kesihatan dari Universiti Georgetown, Dr Lawrence Gostin menyifatkan penarikan diri AS itu sebagai langkah yang sangat membahayakan keselamatan nasional.
Beliau memberi amaran bahawa negara itu kini tidak lagi mempunyai akses pantas kepada data virus dan genetik yang penting bagi pembangunan vaksin pada masa hadapan.
WHO sebelum ini menyifatkan tindakan penarikan diri AS sebagai situasi rugi-rugi yang dijangka memberi kesan negatif kepada sistem kesihatan global. - Agensi
Berita berkaitan
June 11, 2026, 10:47 am
Iran umum Selat Hormuz ditutup sepenuhnya selepas serangan baharu AS
June 10, 2026, 9:44 pm
Kontraktor Colombia didakwa terlibat sokong RSF dalam konflik Sudan - HRW
June 10, 2026, 6:26 pm
Harga runcit petrol RON95, diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 11 hingga 17 Jun 2026
June 5, 2026, 2:48 pm
Brunei rombak kabinet, Putera Abdul Mateen dilantik Menteri Hal Ehwal Luar
June 4, 2026, 8:56 am
Korban wabak campak di Bangladesh cecah 601 nyawa, lebih 83,000 kes direkodkan
May 18, 2026, 5:19 pm
