TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu terlupa hantar ke pengasuh, budak 2 tahun maut tertinggal dalam kereta hampir 9 jam

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 27 Jan – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam sebuah kereta di Jalan Tunku Hassan di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian menyayat hati itu, mangsa dipercayai berada di dalam kereta ibunya sejak pagi sebelum wanita berusia 35 tahun berkenaan menyedari kejadian tersebut ketika hendak pulang dari tempat kerja pada lewat petang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 6.15 petang.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa didapati tidak sedarkan diri di kereta jenis Proton Saga.

“Mangsa dipercayai ditinggalkan sejak jam 8 pagi yang mana ibu mangsa terlupa untuk menghantarnya ke rumah pengasuh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, kejadian itu hanya disedari ibu mangsa sekitar jam 5 petang selepas selesai waktu bekerja di sebuah bank di kawasan berkenaan, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Ujar beliau, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada polis IPD Seremban di talian 06-6033222,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila ahli keluarga mangsa dilihat berpelukan sambil menahan kesedihan.

Seorang pekerja kedai pakaian berhampiran yang ditemui berkata, dia bergegas keluar selepas terdengar jeritan seorang wanita dari bahagian belakang premis berkenaan.

“Saya dan rakan segera melihat apa yang berlaku dan dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta.

“Ada kata ibu kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank di situ dan dipercayai terlupa anaknya tertinggal di dalam kenderaan,” katanya.

+ - reset