TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kadar kebolehgajian graduan TVET lepasi 95 peratus pada 2024 – Zahid

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jan – Kadar kebolehgajian graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) direkodkan melebihi 95 peratus pada 2024, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kadar tersebut merangkumi graduan dalam bidang kejuruteraan; pembuatan dan pembinaan; teknologi maklumat dan komunikasi; perniagaan, pentadbiran dan perundangan; sastera dan kemanusiaan serta sektor perkhidmatan.

Bagaimanapun, jelas beliau, peratusan itu tidak termasuk graduan daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, data Raya TVET menunjukkan kejuruteraan kekal sebagai bidang utama kursus TVET dengan penyertaan sekitar 21 hingga 23 peratus antara 2020 hingga 2024.

Katanya, ia diikuti bidang pembinaan yang mencatat peratusan antara 15 hingga 17 peratus, manakala teknologi maklumat berada pada kadar tujuh hingga sembilan peratus.

“Bidang automotif, hospitaliti dan pertanian masing-masing mencatat peratusan lebih kecil, sementara kategori lain-lain merangkumi pelbagai bidang pengajian bagi memenuhi keperluan industri yang pelbagai.

“Daripada segi pecahan pelajar TVET mengikut bidang pengajian, kejuruteraan dan pembinaan merekodkan penyertaan tertinggi, diikuti automotif, teknologi maklumat, hospitaliti dan pertanian,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai peratusan kursus dan pelajar TVET mengikut bidang pengajian serta kadar kebolehgajian graduan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

+ - reset