Berita Berita
Rafizi cadang siasatan serangan terhadap anak diklasifikasi NFA
KUALA LUMPUR 30 Jan – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengusulkan supaya siasatan kes serangan terhadap anaknya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan sekiranya beliau mendapati siasatan kes tersebut tidak menunjukkan sebarang perkembangan selepas menunggu dalam tempoh tertentu.
Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan anggota polis yang hanya menjalankan arahan membuang masa dengan siasatan yang tidak menemui hala tuju.
“Lagipun, Perdana Menteri sendiri sebelum ini beriya-iya mengeluarkan kenyataan supaya siasatan dibuat secara telus.
“Kalau sudah lebih enam bulan tetapi tiada perkembangan, malulah PMX. Lebih baik saya yang sukarela minta siasatan ditutup sahaja untuk menjaga air muka PMX,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau reda dengan kejadian serangan yang menimpa anaknya dan memilih untuk menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah.
Beliau berkata, keluarganya lebih yakin kepada doa berbanding bergantung kepada budi bicara manusia agar kejadian seumpama itu tidak berulang kepada sesiapa pun.
“Yang perlu mempertahankan reputasi di mata rakyat bukan anak saya yang diserang.
“Yang perlu menjawab kepada rakyat nanti adalah orang-orang besar. Mereka tahulah apa jawapan yang akan diberikan suatu hari nanti,” katanya.
Terdahulu, Rafizi mengakui tidak pernah menerima sebarang maklum balas rasmi atau tidak rasmi berhubung siasatan kes serangan tersebut sejak kejadian berlaku pada Ogos tahun lalu.
Sebaliknya, katanya, sebarang perkembangan siasatan hanya diketahui melalui laporan media, sama seperti orang awam lain.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pernah bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di bangunan Parlimen pada 1 Disember lalu.
Menurut Rafizi, dalam pertemuan itu Saifuddin Nasution ada berkongsi beberapa perkembangan serta sudut siasatan, dipercayai atas rasa simpati kerana ketiadaan maklumat selama beberapa bulan.
Tambahnya, beliau turut mengemukakan soalan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan pengesahan rasmi berhubung perkara tersebut.
“Jawapan menteri itu bersifat pentadbiran untuk mengelakkan maklumat sulit didedahkan dan saya tidak berkecil hati.
“Sebab bila anak sendiri yang jadi mangsa, memang orang lain sukar memahami perasaan kita,” katanya.
Rafizi berkata, beliau berterima kasih kerana jawapan tersebut mengesahkan dua perkara, iaitu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri pada 1 Disember benar-benar berlaku dan maklumat berkaitan perkembangan siasatan memang dikongsikan kepadanya ketika itu.
“Saya realistik. Tidak mungkin beliau akan dedahkan secara terbuka apa yang telah dimaklumkan kepada saya.
“Saya faham dalam sistem kita, tanpa kuasa, proses untuk menjejak dalang kes seperti ini memang mengambil masa dan ada kemungkinan senyap begitu sahaja apabila orang ramai mula lupa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan anak Rafizi diserang dengan cara diheret dan disuntik menggunakan jarum suntikan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 tengah hari pada Ogos tahun lalu.
Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika Rafizi bersama isteri dan anaknya sedang menuju ke kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan.
Berita berkaitan
January 30, 2026, 7:48 pm
SPRM bongkar rangkaian pusat urut terkemuka bayar wang perlindungan RM2.7 juta kepada penguat kuasa
January 30, 2026, 7:27 pm
Semua aliran sekolah terima baik Bahasa Melayu, Sejarah wajib dalam SPM
January 30, 2026, 7:11 pm
Anwar tinjau persiapan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman Batu Caves
January 30, 2026, 7:02 pm
SPRM nafi dakwaan keluarkan saman palsu, ancam tindakan undang-undang
January 30, 2026, 6:53 pm
Pegawai kanan TLDM didakwa paksa kontraktor sewa hotel miliknya, dedah Azam Baki
January 30, 2026, 6:43 pm
Penguatkuasaan perlu menyeluruh hingga peringkat PBT - PM
January 30, 2026, 6:36 pm
Hanya 30 ladang ternakan babi masih beroperasi di Tanjung Sepat
January 30, 2026, 4:01 pm
Polis panggil tujuh saksi bantu siasatan kes budak 2 tahun maut tertinggal dalam kereta di Seremban
January 30, 2026, 3:42 pm
Wanita beri alasan beli makanan sebelum lari tinggalkan anak dengan jiran di Semenyih
January 30, 2026, 3:22 pm
