Berita Berita
Wanita hilang ditemui maut dalam rumah di Batu Pahat, teman lelaki direman bantu siasatan
BATU PAHAT 30 Jan - Misteri kehilangan seorang wanita sejak beberapa hari lalu berakhir tragis apabila mangsa ditemukan maut di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai II di sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pekerja pasar raya dipercayai dibunuh dengan cara mukanya ditekup menggunakan bantal.
Mayatnya ditemui pada jam 1 pagi selepas polis menyerbu kediaman berkenaan.
Siasatan awal mendapati mangsa disyaki dibunuh oleh teman lelakinya berusia 44 tahun. Ketika serbuan dilakukan, polis menemui wanita itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah berkenaan.
Dalam serbuan sama, suspek ditemui mengalami kecederaan di bahagian leher dan lengan kiri yang disyaki akibat tindakan sendiri.
Difahamkan, suspek yang juga seorang penganggur dipercayai membunuh mangsa pada pagi Selasa lalu sebelum kejadian itu terbongkar awal pagi tadi.
Kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya selepas wanita itu tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu, menyebabkan abang mangsa membuat laporan polis.
Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita terbabit.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Prosiding reman ke atas suspek dijalankan di HSNI berikutan lelaki itu masih menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya.
Tinjauan di rumah yang didiami mangsa dan suspek mendapati keadaan kediaman itu sunyi dengan polis memasang pita larangan masuk di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Berita berkaitan
January 30, 2026, 7:48 pm
SPRM bongkar rangkaian pusat urut terkemuka bayar wang perlindungan RM2.7 juta kepada penguat kuasa
January 30, 2026, 7:27 pm
Semua aliran sekolah terima baik Bahasa Melayu, Sejarah wajib dalam SPM
January 30, 2026, 7:11 pm
Anwar tinjau persiapan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman Batu Caves
January 30, 2026, 7:02 pm
SPRM nafi dakwaan keluarkan saman palsu, ancam tindakan undang-undang
January 30, 2026, 6:53 pm
Pegawai kanan TLDM didakwa paksa kontraktor sewa hotel miliknya, dedah Azam Baki
January 30, 2026, 6:43 pm
Penguatkuasaan perlu menyeluruh hingga peringkat PBT - PM
January 30, 2026, 6:36 pm
Hanya 30 ladang ternakan babi masih beroperasi di Tanjung Sepat
January 30, 2026, 4:01 pm
Polis panggil tujuh saksi bantu siasatan kes budak 2 tahun maut tertinggal dalam kereta di Seremban
January 30, 2026, 3:42 pm
Wanita beri alasan beli makanan sebelum lari tinggalkan anak dengan jiran di Semenyih
January 30, 2026, 3:22 pm
