TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM cadang 20 penambahbaikan tatakelola libat pengurusan babir Bazar Ramadan, PPR DBKL

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 30 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan sebanyak 20 cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan penemuan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara pengurusan pihak berkuasa tempatan itu.

Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM memaklumkan, cadangan berkenaan melibatkan lima isu utama merangkumi pengurusan bahan kreatif, pengurusan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri, pemantauan kontrak perkhidmatan lesen perniagaan, tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun serta pengurusan kutipan sewa projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, cadangan itu dikemukakan selepas kelemahan dan kekurangan dikenal pasti menerusi penyiasatan tatakelola selaras dengan peruntukan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009.

“Isu pertama menyentuh mengenai pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran studio radio DBKL, yang dikenal pasti mempunyai kelemahan daripada segi ketiadaan had kelulusan sumbangan ditetapkan.

“Sehubungan itu, BPT mencadangkan penetapan Limits of Authority (LOA) khusus kepada Datuk Bandar, ketua jabatan dan jawatankuasa pengurusan tertinggi dengan menetapkan jumlah maksimum kelulusan bagi meningkatkan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) khusus, kadar kompaun yang tidak didokumenkan serta tempoh proses pembatalan lesen yang tidak sesuai dikenal pasti sebagai antara punca utama isu.

Katanya, antara cadangan dikemukakan termasuk pewujudan SOP menyeluruh merangkumi proses kerja dan norma masa, garis panduan kadar kompaun serta pengurangan kompaun, selain proses pembatalan lesen khusus untuk bazar perayaan.

“Kelemahan pemantauan kontrak pengurusan pelbagai lesen perniagaan turut dibangkitkan apabila mendapati tiada jawatankuasa pemantau dilantik, justeru penambahbaikan prosedur bayaran dan penubuhan jawatankuasa pemantauan dicadangkan.

“BPT turut mengemukakan syor berkaitan penambahbaikan tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 DBKL serta pengurusan kutipan sewa perumahan awam melalui penyelarasan SOP, penguatkuasaan berjadual dan kajian kadar sewa bagi memastikan pengurusan DBKL yang lebih mampan,” ujarnya.

Kesemua syor berkenaan telah dibentangkan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola F, Zulhairy Zaidel kepada barisan pengurusan tertinggi DBKL, yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan, di Menara DBKL semalam.

Terdahulu, dalam majlis sama, Azmi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Turut berlangsung sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM dan DBKL.

 
+ - reset