Berita Berita
Pilihan raya PBT bukan ancaman, tapi kuasa rakyat — DAPSY jawab tentangan Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR 3 Feb – Cadangan mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) disifatkan sebagai langkah penting bagi mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih sihat, telus serta berpaksikan rakyat, bukannya ancaman kepada pentadbiran seperti didakwa sesetengah pihak.
Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Edmund Lim berkata, pilihan raya PBT memberi kuasa langsung kepada rakyat untuk memilih pemimpin tempatan mereka, sekali gus meningkatkan tahap kebertanggungjawaban dalam pentadbiran bandar.
Menurut beliau, pemimpin yang dipilih melalui undi rakyat akan lebih bertanggungjawab kerana mereka perlu menjawab terus kepada pengundi, bukan sekadar kepada pihak yang melantik.
“Apabila Datuk Bandar dan ahli majlis PBT bergantung kepada mandat rakyat, mereka akan lebih peka terhadap isu setempat dan memahami keperluan sebenar komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Edmund turut menegaskan, pilihan raya PBT mampu memperkukuhkan demokrasi di peringkat akar umbi dengan memberi ruang kepada rakyat terlibat secara aktif dalam pentadbiran tempatan, sekali gus memupuk kesedaran sivik serta rasa memiliki terhadap bandar dan kawasan kediaman masing-masing.
Selain itu, katanya, proses pilihan raya yang terbuka dan kompetitif juga mampu meningkatkan ketelusan serta kepercayaan awam, apabila rakyat berpeluang menilai visi, rekod dan keupayaan calon sebelum membuat pilihan.
“Walaupun sistem lantikan Datuk Bandar dan ahli majlis PBT mempunyai kelebihan tertentu, namun sudah tiba masanya perbincangan matang dibuat mengenai pengembalian kuasa memilih kepada rakyat.
“Pemimpin tempatan akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana mandat mereka datang terus daripada rakyat,” ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sebelum ini berikrar akan menggagalkan cadangan mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, dengan mendakwa ia kesinambungan kepada cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya PBT.
Mengulas lanjut, Edmund yang juga Setiausaha Publisiti DAPSY Selangor menyifatkan bantahan tersebut sebagai tidak berasaskan penilaian merit, sebaliknya lebih bersifat politik kepartian.
“Pilihan raya Datuk Bandar dan ahli majlis bukan sekadar soal sistem, tetapi soal prinsip bahawa bandar dan komuniti seharusnya dipimpin oleh mereka yang dipilih oleh rakyat, untuk rakyat.
“Namun, nampaknya Dr Muhamad Akmal semakin menghampiri pendekatan PAS, di mana apa sahaja cadangan daripada DAP akan ditolak tanpa menilai manfaatnya kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan membantah secara membuta tuli hanya akan menghalang perbincangan sihat mengenai reformasi tadbir urus bandar yang sepatutnya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat, bukannya kepentingan politik sempit.
Berita berkaitan
February 17, 2026, 8:18 pm
Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Khamis ini
February 17, 2026, 12:32 pm
Pemuda UMNO gesa Azam Baki direhatkan sementara siasatan selesai
February 17, 2026, 12:12 pm
Bergesel Bezza ketika eskot rasmi di Bukit Pasir, MPV polis disaman
February 17, 2026, 12:07 pm
Penunggang LC135 parah langgar lori sampah di Jalan Free School
February 17, 2026, 11:58 am
Suhakam gesa RCI siasat dakwaan terhadap Azam Baki
February 17, 2026, 11:54 am
Anwar seru rakyat fokus perpaduan sempena Tahun Baharu Cina
February 17, 2026, 11:18 am
Lima sekeluarga ditemui mati dipercayai dibunuh dalam rumah di Kuantan
February 16, 2026, 8:03 pm
