TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guna khidmat peguam bela palsu, Mahkamah Rayuan perintah kes dadah dibicara semula

By
|
Kongsi
image

 

 

PUTRAJAYA 4 Feb - Sabitan dan hukuman penjara 30 tahun terhadap dua sahabat atas kesalahan mengedar dadah diketepikan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan perbicaraan di Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut laporan Bernama, keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azmi Ariffin bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, yang turut memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.

Dalam penghakimannya, Azmi berkata prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi terbatal selepas didapati seorang daripada tertuduh diwakili individu yang tidak mempunyai kelayakan sah di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Beliau berkata individu berkenaan tetap memainkan peranan aktif sebagai peguam bela sepanjang perbicaraan melibatkan Mohd Najmi Abd Rahim.

“Isu yang dibawa ke mahkamah ini bukan mengenai kompetensi, tetapi lebih kepada isu kesahihan di sisi undang-undang individu yang mewakilinya,” katanya.

Menurut Azmi, integriti perbicaraan telah terjejas kerana seorang tertuduh diwakili peguam palsu, sekali gus menjadikan keseluruhan prosiding berkenaan tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas perayu Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala dan Mohd Najmi serta mengarahkan kes berkenaan dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi Seremban untuk dibicarakan semula.

Azmi menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi Seremban dan mengeluarkan waran untuk menahan kedua-dua perayu sementara menunggu perbicaraan semula.

Pada 18 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi mensabitkan Muhammad Zarif, 48, dan Mohd Najmi, 38, atas kesalahan mengedar 768.9 gram (g) methamphetamine dan menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 12 sebatan terhadap setiap seorang.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Persiaran Pusat Bandar Nilai, Negeri Sembilan kira-kira jam 3.45 petang pada 18 September 2018.

Mohd Najmi turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan kerana memiliki 13.11 g dadah yang sama di lokasi, tarikh dan masa serupa, dengan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Semasa prosiding hari ini, peguam Mohd Najmi, R Palaya memohon mahkamah menerima bukti baharu berkaitan individu yang mewakili anak guamnya sebelum ini.

Palaya berkata beliau hanya menyedari individu berkenaan tidak mempunyai kelayakan undang-undang selepas individu itu ditahan, selain memaklumkan individu tersebut kemudiannya didakwa dan dikenakan denda tahun lalu atas tiga kesalahan, termasuk satu di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berhujah bahawa Mohd Najmi turut diwakili peguam lain yang berkelayakan sepanjang perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, peguam Goh Cia Yee yang mewakili Muhammad Zarif turut menyokong hujah Palaya supaya kes berkenaan dibicarakan semula.

 
+ - reset