TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan kebakaran di PPR Desa Tun Razak akibat perbuatan khianat dalam keluarga

By
|
Kongsi
image


 

CHERAS 4 Feb - Kebakaran sebuah unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini, semalam, disahkan polis berpunca daripada perbuatan khianat yang dipercayai didorong konflik dalaman keluarga.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian bermula kira-kira jam 8.30 pagi apabila seorang lelaki berusia 40 tahun dihubungi adiknya yang memaklumkan suaminya berada di hadapan rumah untuk mengambil barangan peribadi.

Katanya, sebaik pintu dibuka, suspek bertindak menjerit serta menuduh mangsa merosakkan rumah tangganya.

“Bagi mengelakkan pergaduhan, pengadu membenarkan suspek masuk untuk mengambil barang dan pengadu telah beredar ke hujung tangga blok.

“Tidak lama kemudian, jiran memaklumkan bahawa rumah pengadu telah terbakar dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah tiba dan berjaya memadamkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun pada jam 11.25 pagi hari sama kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau selain didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

“Motif kejadian dipercayai disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pengadu yang merupakan abang kandung kepada isterinya yang masuk campur dalam urusan rumah tangga mereka sehingga suspek dan isterinya hendak bercerai,” katanya.

Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan 506 Kanun Keseksaan (KK).

“Bagi Seksyen 436 KK, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.

“Seksyen 506 KK, sabit kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Dalam kejadian itu, sebuah bilik di unit PPR Desa Tun Razak terbakar kira-kira 40 peratus.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 8.37 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak digerakkan ke lokasi kejadian.

+ - reset