Berita Berita
Dr Gunaraj puji komitmen agensi, sukarelawan pastikan keselamatan dan kebersihan ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves
GOMBAK 4 Feb - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunaraj George memuji usaha dan kerjasama antara semua agensi penguatkuasaan, perkhidmatan kecemasan serta sukarelawan atas kejayaan penganjuran Sambutan Thaipusam 2026 di Batu Caves yang berlangsung dengan aman, selamat dan teratur.
Menurut beliau, kejayaan sambutan perayaan suci penganut Hindu itu mencerminkan tahap profesionalisme, komitmen serta pengorbanan tinggi semua pihak yang bertugas sepanjang tempoh perayaan.
Katanya, pelbagai agensi digerakkan bagi menguruskan kawalan orang ramai, lalu lintas, keselamatan, perkhidmatan perubatan serta kebersihan kawasan sekitar Batu Caves.
Dr. Gunaraj turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kawalan lalu lintas dan keselamatan, khususnya di laluan perarakan utama dan kawasan sekitar Batu Caves, selain mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atas kesiapsiagaan serta rondaan berterusan di kawasan kuil.
Beliau turut menghargai sumbangan pasukan perubatan dan sukarelawan kesihatan, termasuk Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans serta pasukan kecemasan hospital yang menyediakan bantuan perubatan segera, khususnya bagi kes berkaitan haba dan kecederaan ringan.
Dalam kenyataannya, Dr. Gunaraj memuji peranan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mengerahkan kira-kira 130 pegawai penguat kuasa bagi memantau peniaga, menguruskan sisa pepejal serta memastikan kebersihan kawasan Batu Caves sepanjang perayaan.
Penghargaan turut diberikan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menyediakan perkhidmatan percuma bagi memudahkan pengunjung dan penganut ke Batu Caves.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para sukarelawan daripada pertubuhan Hindu, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan yang bertugas tanpa mengenal penat lelah.
Ini termasuk Sukarelawan Thaipusam Task Force yang memainkan peranan penting dalam mengurus aliran orang ramai, menjaga kebersihan, memberi panduan kepada penganut serta menyokong usaha agensi penguatkuasaan.
Menurut beliau, para sukarelawan turut mengendalikan pondok Thaneer (air minuman), gerai makanan percuma serta membantu membawa barangan dan memenuhi keperluan asas para penganut, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan perpaduan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Dr. Gunaraj menyeru semua penganut agar menghargai usaha kolektif tersebut dengan menjaga kebersihan sepanjang perayaan.
“Perayaan dan kebersihan perlu bergerak seiring. Simpan sampah sehingga menemui tong sampah,” katanya sambil menegaskan bahawa amalan membuang sampah dengan betul adalah tanda penghargaan kepada semua pihak yang bertugas demi keselesaan, keselamatan dan kesucian kawasan Batu Caves.
Mengakhiri kenyataannya, beliau mengucapkan Selamat Thaipusam kepada seluruh masyarakat Hindu serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan sambutan Thaipusam 2026.
Beliau berkata kejayaan sambutan tahun ini adalah hasil dedikasi setiap pegawai, sukarelawan dan penganut, selain menyeru semua pihak agar terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama demi keharmonian masyarakat.
Berita berkaitan
February 4, 2026, 3:02 pm
Remaja cederakan bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi diperintah jalani khidmat masyarakat
February 4, 2026, 2:54 pm
Mayat reput separuh bogel ditemui di sungai Pantai Remis, polis sahkan kes bunuh
February 4, 2026, 2:49 pm
Dari tirai besi ke istana: Sultan Selangor terharu kisah bekas banduan PhD diberi pengampunan penuh
February 4, 2026, 2:37 pm
Puad Zarkashi tegur Hannah Yeoh: Hormati kuasa Agong, Datuk Bandar KL bukan jawatan pilihan raya
February 4, 2026, 2:25 pm
Pilihan raya Datuk Bandar KL cuma ‘eksperimen berbahaya’, PN beri amaran
February 4, 2026, 1:46 pm
Mak nyah pertama didakwa ubah jantina di Mahkamah Syariah Kelantan
February 4, 2026, 1:22 pm
Polis sahkan kebakaran di PPR Desa Tun Razak akibat perbuatan khianat dalam keluarga
February 4, 2026, 11:38 am
