TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua individu ditemui meninggal dunia dalam rumah di Setia Alam

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 9 Feb – Dua individu masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita ditemui meninggal dunia di dalam sebuah rumah di kawasan perumahan U13, Setia Alam, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga ahli keluarga kepada salah seorang mangsa selepas menemui mayat simati bersama seorang lelaki di rumah sewa milik adiknya.

Menurut beliau, siasatan awal yang dijalankan polis bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati rumah berkenaan berada dalam keadaan tertutup, tanpa kehadiran sebarang kenderaan di perkarangan dan pintu besi hadapan tidak berkunci.

“Kedua-dua simati ditemui berada di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah tersebut dan mayat mereka telah berada dalam keadaan reput.

“Pemeriksaan awal turut mendapati keadaan rumah adalah teratur dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh badan kedua-dua simati.

Menurutnya lagi, kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR) dan kertas siasatan akan diambil alih oleh Ketua Polis Balai Seksyen 6,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Ketua Polis Balai Seksyen 6, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355 bagi membantu siasatan.

 

+ - reset