TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Musim bantuan & perayaan, masa ‘emas’ scammer mengganas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Feb – Orang ramai diingatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan terutama menjelang musim pemberian bantuan dan sambutan perayaan kerana situasi itu sering dimanipulasi oleh sindiket penipuan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keadaan itu bertambah berisiko apabila pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri berlaku dalam jarak masa yang dekat.

Menurut beliau, ketika ini kebanyakan keluarga akan mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi keperluan harian, persiapan perayaan, pengisian ‘ang pau’ serta pembelian barangan keperluan, sekali gus menjadikan mereka sasaran mudah scammer.

“Dalam tempoh seperti ini, scammer akan berleluasa dan menganggapnya sebagai musim ‘memancing’.

“Sekiranya menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengandungi pautan atau hyperlink, jangan sesekali klik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, pada Ahad.

Fahmi turut menegaskan bahawa SMS rasmi daripada agensi kerajaan tidak akan mengandungi sebarang pautan, dan sebarang mesej sedemikian berkemungkinan besar adalah cubaan penipuan.

Jelasnya, kebanyakan mesej palsu itu dihantar menggunakan kaedah ‘fake base station’, di mana scammer berada berhampiran lokasi mangsa bagi menyebarkan SMS penipuan secara rawak.

“Justeru, sentiasa berwaspada dan jangan mudah terpedaya. Jika sudah menjadi mangsa, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC).

“Dengan pembukaan pejabat baharu serta penambahan anggota, NSRC kini beroperasi 24 jam sehari.

“Laporan yang dibuat dalam tempoh 30 minit membolehkan pihak berkuasa menahan aliran keluar wang dan meningkatkan peluang untuk mendapatkan semula duit mangsa,” katanya.

+ - reset