Berita Berita
'Di India dan China sendiri pun tak dibenarkan' - Anwar umum PBT diberi 'lampu hijau' ambil tindakan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan
PUTRAJAYA 9 Feb - Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pembinaan rumah ibadat yang didirikan tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang, dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan.
"Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan dan majlis bandar raya (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
"Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi, sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga, kerja kami kerja negara, ini negara hukum," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ketegasan berkenaan perlu dilihat dalam kerangka perpaduan nasional dan penyelesaian berasaskan undang-undang, bukannya melalui konfrontasi.
Beliau menjelaskan, isu itu tidak tertumpu kepada mana-mana agama secara khusus, sebaliknya membabitkan pembinaan rumah ibadat di tapak yang tidak mendapat kebenaran sah.
"Walaupun istilah yang digunakan umum seperti kuil, perkara pokoknya ialah pembinaan di tempat atau tapak yang tidak sah. Di bawah peraturan, sama ada disenangi atau tidak, semua perlu ikut undang-undang.
"Masjid dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga rumah ibadat lain. Yang penting, cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan," katanya.
Perdana Menteri berkata, tindakan hanya akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang dan menegaskan sebarang isu perlu ditangani melalui rundingan serta saluran yang sah.
"Bagaimana Batu Caves? Batu Caves itu sah, ada cadangan Batu Caves nak buat eskalator. Saya bincang dengan Menteri Besar Selangor semalam, kebetulan saya bersama dengan Sultan tanya pendapat baginda.
"Batu Caves itu mendapat kelulusan. Dia minta oleh kerana tangga naik tinggi, oleh kerana tinggi, ada yang cadangkan nak bina, eskalator. Jadi pendapat saya, tak apa. Dia tak ganggu tanah orang, dia tak paksa, dia tak rampas hak orang lain," katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa dasar berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya kesinambungan pendirian kerajaan terdahulu merentasi pelbagai pentadbiran.
"Isu ini bukan baru timbul semalam. Dasar kerajaan ini berterusan sejak zaman BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional), PAS, PH (Pakatan Harapan) sehingga sekarang," katanya.
Beliau menegaskan, Islam kekal sebagai agama Persekutuan manakala agama lain terus diberikan hak masing-masing.
"Apakah wajar kita beri penghormatan kepada semua agama? Ya. Tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tidak boleh.
"Kalau di atas tanah orang lain, tanah yang dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tak boleh dijadikan sah," katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan tapak pembinaan rumah ibadat yang tidak sah tidak boleh diiktiraf dan perlu dibendung bagi mengelakkan percambahan tanpa kawalan.
"Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung. Saya tanya di India ataupun di negara China, di negara China, dia tidak izinkan. Di India tidak diizinkan, melainkan di tempat yang sah. Jadi biar ini jadi dasar kita faham.
"Ada satu kes katanya betul tak ada kebenaran tapi dah ada 200 tahun. Dia nak minta pertimbangan. Itu kes lain, kita beri pertimbangan tetapi jangan guna alasan sudah ada di bawah pohon itu wajib diluluskan," katanya.
Berita berkaitan
March 5, 2026, 4:45 pm
Berebut kawasan sekuriti tapak perumahan punca pegaduhan dalam Balai Polis Meru
March 5, 2026, 1:45 pm
Lelaki warga asing ditahan polis bantuan KTMB, disyaki cuba curi kabel landasan di Klang
March 5, 2026, 1:12 pm
Suspek gaduh di Balai Polis Meru milik rekod jenayah cubaan bunuh, dikehendaki bawah Poca
March 5, 2026, 1:02 pm
Isu penyatuan parti Melayu: Wan Saiful dakwa Muhyiddin Yassin jadi penghalang permuafakatan
March 5, 2026, 12:31 pm
Nahas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak: Seorang warga Iraq maut, tiga warga Yemen cedera ringan
March 5, 2026, 12:20 pm
