TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita maut tercampak dalam kereta dipandu adik, Bezza terbabas awal pagi di Lenggong

By
|
Kongsi
image

LENGGONG 10 Feb – Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai adik kandungnya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 32.4, Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu, berhampiran stesen minyak Petronas Lenggong, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.56 pagi, mangsa Damia Aziati Ruslan, 34, yang merupakan penumpang di bahagian belakang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah Perodua Bezza yang dipercayai terbabas sendiri.

“Seramai lima mangsa terlibat dalam kejadian ini membabitkan tiga wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Seorang mangsa wanita didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat mangsa lain mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sabarodzi berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas penilaian awal dilakukan dan konsep SAVER diaplikasikan.

Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota bomba, dibantu tiga anggota polis dan tiga petugas KKM, dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 4.45 pagi dan ditamatkan pada jam 5.03 pagi.

+ - reset