TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Puad gesa siasatan segera dakwaan ‘Mafia Korporat’ kaitkan SPRM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi menggesa siasatan segera dijalankan bagi menentukan kebenaran dakwaan menerusi video bertajuk ‘Mafia Korporat’ yang mengaitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, beliau telah menonton video berkenaan dan menyifatkan kandungannya sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan imej kerajaan serta SPRM sekiranya tidak ditangani secara tuntas.

“Jika dakwaan dalam video itu benar, maka pembersihan total terhadap SPRM perlu dilakukan.

“Sebaliknya, jika ia hanya cerita palsu, tindakan undang-undang mesti diambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya dakwaan tersebut mempunyai asas, kerana bimbang ia sudah berakar umbi dan sukar dipulihkan.

Mohd Puad menegaskan, tidak memadai sekadar melihat SPRM bertindak tegas mendakwa pegawai kanan tentera atau pemimpin politik sekiranya wujud unsur ‘mafia’ dalam agensi berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, rakyat berhak diberi penjelasan menyeluruh berhubung dakwaan tersebut.

“Isunya reformasi terhadap SPRM. Siapa yang menjadi polis kepada SPRM?

“Jawatankuasa aduan SPRM dilihat tidak mempunyai kuasa menyiasat salah laku jenayah pegawai SPRM.

“Perlu diwujudkan satu unit khas bagi membolehkan orang ramai membuat aduan terhadap salah laku pegawai SPRM,” katanya.

Terdahulu, seorang bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi video di Facebook menyorot laporan media antarabangsa yang mendakwa SPRM dibolosi individu tertentu yang dikaitkan dengan pelbagai tuduhan jenayah, termasuk dakwaan menggunakan syarikat peminjam wang berlesen untuk aktiviti pengubahan wang haram.

+ - reset