TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu ceroboh tanah: Pemilik tanah tak boleh ambil tindakan sendiri - Amirudin

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Feb  – Semua pihak diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menangani isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di Selangor, sebaliknya perlu melalui proses perundangan yang ditetapkan.

Amirudin Shari menegaskan arahan itu selaras dengan peruntukan Kanun Tanah Negara serta undang-undang berkaitan tanah yang sedang berkuat kuasa.

Mengulas insiden perobohan kuil di Rawang semalam, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan dan kes berkenaan akan melalui proses undang-undang sewajarnya.

Menurutnya, kejadian itu telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat dan perlu ditangani segera bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama.

Beliau menjelaskan secara keseluruhan terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat tidak sah, iaitu rumah ibadat yang menduduki tanah milik kerajaan negeri dan rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian.

“Bagi isu pertama, saya telah mengarahkan supaya prosedur yang sedang digunapakai di peringkat Kerajaan Negeri dipertingkatkan dan tindakan segera di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai Jawatankuasa LIMAS yang lebih jelas.

“Untuk rumah ibadat yang menduduki tanah milik persendirian pula, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah untuk melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis serta pegawai daerah bagi membincangkan tahap keselamatan awam negeri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MKN Negeri Selangor memutuskan tiga langkah utama sekiranya berlaku pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

Langkah pertama ialah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan atas kesalahan pencerobohan akan dimulakan.

Selain itu, notis akan dihantar kepada pihak penceroboh dan perkara berkenaan dimaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah serta Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah dan telah diaktifkan di semua daerah di Selangor.

Menurutnya, JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan pihak berkuasa tempatan bagi mencapai penyelesaian munasabah.

Sekiranya proses tersebut tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya tindakan mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan untuk berlaku,” katanya.

+ - reset