Berita Berita
Ketua Polis KL dedah punca sebenar Lembah Klang sesak teruk sejak awal bulan
KUALA LUMPUR 13 Feb – Kemasukan lebih tiga juta kenderaan sehari ke ibu negara dikenal pasti sebagai punca utama kesesakan luar biasa yang melanda hampir semua laluan utama sejak awal bulan ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, berdasarkan pemantauan dan data Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS), jumlah kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur antara 1 Februari hingga semalam menunjukkan peningkatan ketara melebihi tiga juta setiap hari.
"Lonjakan kemasukan kenderaan ini menjadi faktor utama kepada kesesakan luar biasa yang kita lihat berlaku hampir di semua laluan utama bandar sejak awal bulan ini.
"Keadaan itu dipengaruhi pergerakan orang ramai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, selain tumpuan ke pusat bandar untuk aktiviti membeli-belah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kesesakan turut dipengaruhi beberapa faktor lain termasuk kemalangan kecil yang berlaku secara berantai ketika waktu puncak, keadaan cuaca yang memperlahankan pergerakan trafik serta faktor struktur jalan raya di beberapa lokasi tertentu.
Selain itu, berlangsungnya Majlis Raja-Raja dari 10 hingga 12 Februari turut memberi kesan kepada aliran trafik, khususnya membabitkan laluan pergerakan rasmi dan kawalan keselamatan.
"Gabungan semua faktor ini menyebabkan tempoh kesesakan menjadi lebih panjang berbanding kebiasaan, bukan hanya ketika waktu puncak pagi dan petang," katanya.
Fadil berkata, jumlah kenderaan keluar masuk ibu kota dijangka meningkat dua kali ganda, mencecah enam juta menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.
Bagi menangani situasi itu, beliau memaklumkan pihaknya menempatkan tambahan anggota trafik di lokasi tumpuan termasuk kawasan pusat beli-belah dan laluan utama menuju pusat bandar.
"Tumpuan tambahan diberikan di kawasan pusat membeli-belah, selain tempoh pemantauan dan kawalan trafik dilanjutkan melepasi waktu puncak biasa.
"Kerjasama turut dijalinkan bersama pihak pengendali lebuh raya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi melaras tempoh lampu isyarat di lokasi yang mencatatkan bilangan trafik tinggi.
"Ini adalah cabaran untuk kita dan ada kawasan hotspot yang kita kenal pasti untuk kita lipat gandakan kawalan keselamatan termasuk kawasan tumpuan orang ramai," katanya.
Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur melaksanakan Op Lancar bermula 11 hingga 22 Februari bagi memastikan kelancaran trafik menerusi penugasan anggota di lokasi strategik serta pemantauan di 15 lokasi 'black spot' dan 30 lokasi 'hot spot'.
Antara 15 lokasi 'black spot' dikenal pasti ialah Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Jalan Damansara, Jalan Kepong dan Lebuh Raya Sultan Iskandar.
Sementara itu, antara 30 lokasi 'hot spot' ialah Bulatan Segambut, Bulatan Kepong, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Yap Kwan Seng, Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Istana.
Beliau berkata, maklumat trafik semasa turut disalurkan kepada pengguna jalan raya menerusi paparan Sistem Pemberitahuan Video (VNS), selain pemantauan berterusan oleh Pusat Kawalan Trafik Kuala Lumpur.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, memilih laluan alternatif serta mematuhi arahan anggota trafik bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh kesesakan luar biasa ini.
Berita berkaitan
February 13, 2026, 8:27 pm
UKM jelaskan isu penamatan kontrak lebih 20 staf
February 13, 2026, 8:21 pm
KSN ketuai jawatankuasa khas siasat dakwaan babit Azam Baki
February 13, 2026, 8:16 pm
Bersekutu Bersatu Johor bubar, bantah pemecatan Hamzah
February 13, 2026, 8:04 pm
Muhyiddin panggil mesyuarat khas MPT Bersatu esok
February 13, 2026, 7:01 pm
Isu ceroboh tanah: Pemilik tanah tak boleh ambil tindakan sendiri - Amirudin
February 13, 2026, 6:13 pm
Wan Ahmad Fayhsal turut dipecat keahlian BERSATU
February 13, 2026, 5:58 pm
Hamzah Zainuddin dipecat keahlian BERSATU berkuat kuasa serta-merta
February 13, 2026, 5:24 pm
