Berita Berita
'Terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan' - Mahkamah bebaskan sementara Da'i Syed selepas 21 hari di penjara, benarkan ikat jamin
PUTRAJAYA 13 Feb - Da'i Syed dibebaskan sementara selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan diputuskan.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azmi Ariffin bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
"Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak dan membaca alasan serta penghujahan bertulis, kami mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon ini dilepaskan di atas jaminan sehinggalah rayuan pemohon ini di Mahkamah Rayuan ini diputuskan," kata Azmi.
Pada prosiding hari ini, Da'i Syed selaku pemohon diwakili peguam, M Athimulan, manakala pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini.
Prosiding turut dihadiri isterinya, Hana Ismail, 40.
Azmi berkata, alasan dicapai pihaknya adalah Da'i Syed sebagai pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi.
"Yang keduanya kami juga mendapati tiada keterangan yang merujuk melalui afidavit bahawa pemohon pernah melarikan diri atau menghilangkan diri dari menghadiri prosiding sama ada di peringkat Mahkamah Sesyen atau di Mahkamah Tinggi.
"Mengambil kira juga di antara pertimbangan diambil seperti diucapkan oleh peguam pemohon iaitu ini adalah kesalahan pemohon yang pertama dan harus juga diberi pertimbangan," katanya.
Azmi turut menetapkan beberapa syarat, antaranya Da'i Syed dilepaskan dengan jaminan wang RM40,000 bersama dua penjamin yang tidak semestinya ahli keluarga.
Syarat kedua, pasport antarabangsa kekal disimpan di mahkamah, manakala syarat ketiga pemohon perlu melaporkan diri di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam antara 1 hingga 5 hari bulan setiap bulan bermula Mac depan sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan diputuskan.
"Jika ada pelanggaran mana-mana syarat yang saya bacakan tadi maka jaminan tersebut yang diberikan pada hari ini akan dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan ini," katanya.
Sejurus prosiding tamat, Hana dilihat memeluk suaminya yang memakai pakaian lokap berwarna oren.
Pada 23 Januari lalu, Da'i Syed diperintahkan dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan selepas disabitkan atas tuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos 2024 serta tidak menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan.
Pada 10 Disember 2020, Da'i Syed didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Berita berkaitan
February 13, 2026, 7:11 pm
Ketua Polis KL dedah punca sebenar Lembah Klang sesak teruk sejak awal bulan
February 13, 2026, 7:01 pm
Isu ceroboh tanah: Pemilik tanah tak boleh ambil tindakan sendiri - Amirudin
February 13, 2026, 6:13 pm
Wan Ahmad Fayhsal turut dipecat keahlian BERSATU
February 13, 2026, 5:58 pm
Hamzah Zainuddin dipecat keahlian BERSATU berkuat kuasa serta-merta
February 13, 2026, 5:24 pm
Wanita sarat hamil maut disyaki dibunuh suami guna lesung batu di Kota Tinggi
February 13, 2026, 12:46 pm
Puad gesa siasatan segera dakwaan ‘Mafia Korporat’ kaitkan SPRM
February 13, 2026, 12:41 pm
Kanak-kanak lelaki maut terjatuh dari tingkat lapan bangunan di Cyberjaya
February 13, 2026, 12:35 pm
Pelajar Tingkatan Lima ditahan kes buli guna puntung rokok di asrama
February 13, 2026, 11:57 am
