TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hamzah Zainuddin dipecat keahlian BERSATU berkuat kuasa serta-merta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Feb – Hamzah Zainuddin dipecat daripada keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta, menurut kenyataan parti hari ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin parti selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU.

"(Pemecatan) berkuat kuasa 13 Februari 2026 (hari kni) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, satu notis yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan lembaga yang bersidang semalam telah memutuskan pemecatan berkenaan.

"Notis ini berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun pihak Datuk Seri (Hamzah) boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini," menurut notis itu.

Semalam, Hamzah dilaporkan tidak hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti yang dijadual berlangsung di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.

Setiausaha sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli, memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu berada di Sydney, Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding berkenaan.

Lembaga Disiplin sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil berhubung isu kritikan dan serangan terhadap Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin serta rundingan yang membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti berkenaan mendesak supaya keahlian Hamzah dipecat selepas beliau didakwa menjadi dalang gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan BERSATU.

Terdahulu, BERSATU turut mengambil tindakan pemecatan terhadap beberapa pemimpinnya yang dikaitkan dengan gerakan sama.

+ - reset