TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli Bersatu mahu kembali ke UMNO perlu dibawa ke MKT - Ahmad Maslan

By
|
Kongsi
image

PONTIAN 20 Feb – Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berhasrat kembali menyertai United Malays National Organisation (UMNO) tidak boleh diterima secara terus di peringkat bahagian, sebaliknya permohonan mereka perlu dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terlebih dahulu.

Ahli MKT UMNO, Ahmad Maslan berkata, keputusan berhubung penyertaan semula ahli Bersatu adalah urusan MKT kerana ia membabitkan dasar dan kedudukan parti di peringkat nasional.

“Jika ada permohonan daripada ahli-ahli Bersatu untuk masuk kembali ke UMNO, keputusan akhir perlu dibuat oleh MKT.

“Saya ingin tegaskan ini ialah isu nasional yang melibatkan dasar dan kedudukan ahli-ahli parti. MKT akan dijadualkan pada Khamis depan (26 Februari) dan saya akan membawa isu ini dalam mesyuarat berkenaan.

“Bagaimanapun, UMNO tegas memperkukuh kedudukan parti berlandaskan kekuatan sendiri dan bukan atas kelemahan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan Siap Kerja Program Rumah Sejahtera Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kampung Baru Parit Lapis Sayang, Benut, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis lalu, UMNO Johor menyeru ahli Bersatu di negeri itu kembali kepada wadah asal perjuangan Melayu susulan krisis dalaman parti berkenaan sehingga 11 bahagiannya mengumumkan pembubaran pada Rabu.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Yahya Jaafar berkata, seruan itu selari dengan gagasan Rumah Bangsa yang digagaskan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bagi menghimpunkan semula kekuatan Melayu di bawah satu kepimpinan yang stabil.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, kedudukan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat kini masih menjadi tanda tanya susulan beberapa pemimpin dipecat daripada parti masing-masing.

“Keputusan mengenai siapa yang akan memegang jawatan tersebut adalah hak parti masing-masing dan pihak kerajaan tidak boleh campur tangan.

“Kami belum mendengar sebarang keputusan daripada mereka. Ini hal mereka, bukan kita. Sama ada mereka kekal atau diganti, terpulang kepada blok pembangkang sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Projek Perumahan Rakyat Sejahtera KKDW, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, projek berkenaan terus memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal.

Menurutnya, program itu dilaksanakan oleh GiatMARA Pontian dengan sasaran menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada mereka yang layak.

+ - reset