Berita Berita
'Hanya mahkamah boleh putuskan' - Ambiga desak Anwar tarik balik arahan kepada PBT 'bersihkan' kuil dibina secara tidak sah
KUALA LUMPUR 20 Feb - Peguam kanan, Ambiga Sreenevasan dan N Surendran menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menarik balik arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya “membersihkan” mana-mana rumah ibadat yang dibina secara tidak sah, dengan alasan arahan itu belum pernah berlaku sebelum ini dan membawa implikasi serius.
“Sebagai permulaan, hanya mahkamah boleh memutuskan secara muktamad bahawa sesebuah kuil menduduki tanah secara tidak sah dan perintah mahkamah diperlukan sebelum ia boleh dirobohkan.
“Dalam apa jua keadaan, pihak pengurusan kuil tidak boleh dilabel sebagai penceroboh dan dikenakan tindakan polis.
“Hujah bahawa tindakan sendiri atau ‘vigilantisme’ dibenarkan jika ia melibatkan tanah persendirian juga tidak berasas,” kata Ambiga dan Surendran dalam satu kenyataan bersama minggu lalu.
Arahan Anwar pada minggu lalu membenarkan PBT supaya “membersihkan” mana-mana rumah ibadat yang dibina secara tidak sah.
Dua hari kemudian, sebuah kuil di Rawang dilaporkan rosak akibat tindakan kumpulan vigilantisme. l
Sebelum ini, Anwar berulang kali menegaskan bahawa tiada sesiapa boleh mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri dan menolak sebarang bentuk perbuatan vigilantisme.
Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, turut menegaskan bahawa bagi rumah ibadat yang dibina di atas tanah persendirian, proses sedia ada menghendaki pemilik tanah melantik peguam dan mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengusiran atau perobohan dilakukan.
Dalam kenyataan sama, Ambiga dan Surendran berkata arahan Anwar itu bercanggah dengan nilai Madani yang menekankan kepercayaan dan ihsan.
“Hakikat bahawa arahan itu datang daripada kerajaan yang berkuasa hasil sokongan semua komuniti menyerlahkan sikap tidak prihatin terhadap cara mereka kini dilayan.
“Kerajaan ini mempunyai tanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia untuk memastikan mereka dapat hidup dalam aman dan harmoni tanpa rasa takut serta dapat mengamalkan semua kebebasan asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah hak asasi manusia yang sedang dicabul oleh kerajaan yang ramai antara kita sokong,” kata mereka.
Peguam terbabit turut menambah kerajaan perlu bertindak dengan berhati-hati dalam isu berkaitan agama dan budaya, termasuk mengadakan perbincangan yang wajar dengan pemimpin komuniti bagi menyelesaikan perkara sensitif.
Berita berkaitan
February 20, 2026, 7:18 pm
Nurul Izzah desak polis siasat saham Azam Baki, bukan laporan Bloomberg
February 20, 2026, 7:04 pm
Kes rasuah RM2.5 bilion: Caprice beri Rafizi tempoh hingga 5 petang esok, padam hantaran dan mohon maaf
February 20, 2026, 4:16 pm
Anggota tentera maut ketika kursus Armor di Kuantan, kes diklasifikasi mati mengejut
February 20, 2026, 3:48 pm
Dr Akmal persoal kenyataan Khalid Samad dakwa pandangannya ‘kegilaan’
February 20, 2026, 3:40 pm
336 mangsa banjir dipindahkan ke PPS di Kota Marudu dan Pitas
February 20, 2026, 3:34 pm
Had tempoh Perdana Menteri 10 tahun bermula dengan saya - Anwar
February 20, 2026, 3:28 pm
Semakan cukai tanah Pulau Pinang ikut peruntukan undang-undang - Kon Yeow
February 20, 2026, 3:21 pm
