TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Semakan cukai tanah Pulau Pinang ikut peruntukan undang-undang - Kon Yeow

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 20 Feb– Kerajaan Pulau Pinang menegaskan pelaksanaan semakan kadar cukai tanah yang berkuat kuasa pada 2026 serta pewartaan 25 bandar baharu dibuat berdasarkan keperluan undang-undang dan perkembangan semasa negeri itu selepas hampir 30 tahun tiada semakan dilakukan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semakan berkenaan selaras dengan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan semakan setiap 10 tahun, namun Pulau Pinang kali terakhir melaksanakannya pada 1994 sebelum dikuatkuasakan pada 1996.

Menurutnya, pewartaan 16 bandar sebelum ini dibuat pada 1966 melibatkan kawasan seperti George Town, Jelutong, Ayer Itam, Gelugor, Bukit Bendera, Tanjong Bungah, Tanjong Tokong, Batu Feringgi, Balik Pulau, Bayan Lepas, Kepala Batas, Butterworth, Prai, Bukit Mertajam, Sungai Bakap dan Nibong Tebal.

“Akibat ketiadaan semakan cukai tanah dan pewartaan bandar baharu dalam tempoh yang panjang, jurang kadar cukai antara Tanah Desa dan Tanah Bandar menjadi semakin besar dan tidak saksama.

“Ketika ini, pembangunan pesat termasuk pembukaan pusat bandar dan kawasan perindustrian baharu menjadikan sebahagian besar kawasan di Pulau Pinang setara dari segi pembangunan ekonomi dan sosial dengan kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan itu bertujuan mengurangkan jurang kadar cukai antara pemilik tanah di kawasan seperti Seberang Jaya, Bertam, Bandar Cassia dan Bandar Tasik Mutiara yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai Tanah Desa, berbanding pemilik tanah di Butterworth, Bukit Mertajam, Jelutong dan Balik Pulau yang telah lama berstatus Tanah Bandar.

Mengulas kebimbangan kenaikan mendadak cukai, beliau berkata kerajaan negeri memperkenalkan rebat 50 peratus bagi mengawal kesan kenaikan serta mengurangkan beban pemilik tanah.

Selain itu, asas rayuan turut ditambah baik dan diumumkan pada 15 Februari lalu, dengan lebih 350 permohonan rayuan sedang diteliti oleh Pentadbir Tanah di setiap daerah.

Menjawab dakwaan struktur cukai tanah negeri tidak selaras dengan Seksyen 52 Kanun Tanah Negara yang menetapkan kategori Pertanian, Bangunan dan Perindustrian, Kon Yeow berkata kenyataan itu kurang tepat.

Katanya, Seksyen 101(3)(b) Akta 828 memperuntukkan pihak berkuasa negeri boleh membuat peruntukan berbeza bagi kelas atau perihal tanah berlainan.

“Ia sekali gus membolehkan kadar cukai ditetapkan berdasarkan kegunaan tanah tanpa terikat kepada kategori semata-mata.

“Peruntukan itu juga selaras dengan Seksyen 120, 121 dan 122 yang memberi kuasa menetapkan syarat nyata bagi kategori tanah sebelum pemberimilikan diluluskan manakala Seksyen 124 membolehkan pemilik memohon pindaan kategori atau syarat nyata,” katanya.

Menurut beliau, struktur baharu yang diwartakan pada 11 September 2025 lebih jelas dan telus apabila hanya membahagikan tanah kepada dua klasifikasi iaitu Tanah Bandar dan Tanah Desa dengan satu kadar masing-masing.

“Sebelum ini, Tanah Bandar mempunyai dua kadar berbeza manakala Tanah Desa tiga kadar berbeza sekali gus mewujudkan jurang yang tidak berpandukan situasi sebenar,” ujarnya.

Kon Yeow turut menjelaskan isu hak milik First Grade, Condition A, B dan C yang berasal daripada sistem English Deed sebelum merdeka dan tidak menyatakan kategori serta syarat nyata secara jelas.

Menurutnya, kira-kira 230,000 hak milik sedemikian wujud menyebabkan penentuan kadar cukai perlu dibuat berdasarkan kegunaan semasa di tapak bagi memastikan keadilan.

Beliau memberi contoh sebidang tanah First Grade di Daerah Seberang Perai Selatan seluas 16,035.64 meter persegi yang sebelum ini dikenakan cukai RM48 setahun atas kadar pertanian (kelapa), namun kini RM44,900 berdasarkan kadar perniagaan RM3.25 semeter persegi selepas didapati kegunaan semasa adalah perniagaan.

Contoh lain di Seberang Perai Tengah membabitkan tanah seluas 6,128.4585 meter persegi yang sebelum ini membayar RM24 setahun atas kadar pertanian (buah-buahan), namun meningkat kepada RM19,918 selepas kegunaan bertukar kepada perniagaan.

Di Timur Laut pula, tanah seluas 3,814.1561 meter persegi yang sebelum ini dikenakan RM8 setahun kini meningkat kepada RM12,397 selepas semakan mendapati kegunaan semasa adalah perniagaan.

Menurutnya, dalam tempoh 30 tahun lalu, pemilik tanah terbabit menikmati kadar cukai yang amat rendah berbanding pembayar lain yang membayar berdasarkan kegunaan semasa masing-masing.

Mengulas mekanisme pengurangan cukai, beliau berkata Kaedah 18 Penang Land Rules 2021 memperuntukkan ruang pengurangan bagi membantu pemilik yang menghadapi kesulitan.

“Memandangkan kadar cukai hanya boleh disemak setiap 10 tahun, pemberian rebat atau pengurangan bayaran bagi tahun semasa atau tempoh tertentu adalah mekanisme paling sesuai, mudah dan telus kepada semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri melaksanakan penyeragaman kadar cukai tanah dengan Kanun Tanah Negara bagi memastikan ketelusan dan keadilan susulan kebimbangan terhadap kenaikan terbaharu cukai tanah di negeri itu.

Menurut pertubuhan itu, cukai tanah mesti ditadbir secara ketat dalam rangka kerja undang-undang dan bukan berdasarkan budi bicara.

+ - reset