Berita Berita
Kes rasuah RM2.5 bilion: Caprice beri Rafizi tempoh hingga 5 petang esok, padam hantaran dan mohon maaf
KUALA LUMPUR 20 Feb - Pertikaian terbuka antara pempengaruh media sosial dan bekas menteri semakin memuncak apabila Caprice memberi tempoh sehingga jam 5 petang esok kepada Rafizi Ramli untuk memadam semua hantaran berkaitan dirinya serta memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang.
Desakan itu dibuat susulan hantaran di media sosial Rafizi mengenai dakwaan Caprice berkaitan kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengannya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menegaskan beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion itu mahu pun sebarang perkataan rasuah dalam hantaran video di laman sosialnya.
"Apa yang saya tanya adalah soalan munasabah, 'Can this be conflict of interest?' (Adakah ini boleh dianggap sebagai konflik kepentingan)? Yes or no? That's it. (Ya atau tidak? Itu sahaja).
"Kalau diulang semula hantaran video saya sebanyak 10,000 kali sekali pun, itu yang akan anda dengar.
"Kalau Rafizi Ramli boleh ada podcast dan tanya macam-macam soalan, apa beza Caprice dengan dia," katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Caprice membuat pendedahan menerusi platform media sosialnya dengan mendakwa pihaknya menerima maklumat daripada seorang pemberi maklumat berhubung dakwaan pembabitan seorang ahli perniagaan yang juga didakwa memiliki saham dalam syarikat milik Rafizi, Invoke Solutions Sdn Bhd.
Menurut Caprice, individu berkenaan didakwa diberikan kontrak bernilai ratusan juta ringgit ketika Rafizi masih memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Malah Caprice turut memuat naik gambar yang memaparkan Rafizi bersama ahli perniagaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat dalam satu majlis.
Dalam pada itu, Caprice berkata, beliau sudi untuk bertemu dengan Rafizi dalam tempoh masa terdekat dan membeli sejambak bunga ros sebagai tanda mahu berdamai.
"Saya menghulurkan tangan kepada Rafizi. Kalau Rafizi sudi, saya sedia untuk berdamai.
"Saya belikan anda bunga hari ini yang mungkin tahan sekitar tujuh hari sebelum layu.
"Jadi, saya harap dalam masa tujuh hari ini, kita dapatlah berdamai dan tolonglah jangan heret Caprice dalam dunia perang politik ini," katanya.
Terdahulu Berita Harian melaporkan Rafizi menafikan beliau terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang berkaitan dirinya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata tuduhan itu adalah fitnah yang dijaja oleh Caprice.
Ia dipercayai merujuk kepada projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) membabitkan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.
Berita berkaitan
February 20, 2026, 7:18 pm
Nurul Izzah desak polis siasat saham Azam Baki, bukan laporan Bloomberg
February 20, 2026, 4:16 pm
Anggota tentera maut ketika kursus Armor di Kuantan, kes diklasifikasi mati mengejut
February 20, 2026, 3:48 pm
Dr Akmal persoal kenyataan Khalid Samad dakwa pandangannya ‘kegilaan’
February 20, 2026, 3:40 pm
336 mangsa banjir dipindahkan ke PPS di Kota Marudu dan Pitas
February 20, 2026, 3:34 pm
Had tempoh Perdana Menteri 10 tahun bermula dengan saya - Anwar
February 20, 2026, 3:28 pm
Semakan cukai tanah Pulau Pinang ikut peruntukan undang-undang - Kon Yeow
February 20, 2026, 3:21 pm
