TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nurul Izzah desak polis siasat saham Azam Baki, bukan laporan Bloomberg

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Feb - Nurul Izzah Anwar menggesa pihak polis memberi tumpuan kepada siasatan terhadap dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, dan bukannya kepada proses penerbitan laporan oleh Bloomberg.

Beliau berkata siasatan polis perlu memfokuskan kepada inti pati dakwaan yang dibangkitkan, selaras prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Saya juga minta supaya siasatan oleh polis seperti diumum fokus kepada dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg, bukan siasat penerbitan laporan tersebut. Maksudnya mudah.

“Kalau ada dakwaan, siasat dakwaan bukan tumpu kepada proses penerbitannya. Kita nak dan rakyat nak intipati dakwaan yang disiasat, bukan hanya siasat bagaimana laporan diterbitkan,” katanya dalam video di TikTok.

Nurul Izzah berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan keyakinan awam terhadap institusi penguat kuasa dan badan pencegahan rasuah terus terpelihara.

“‘You don’t want to shoot the messenger’. Kita mahu SPRM dan semua agensi dalam negara benar-benar menjadi benteng pertahanan kita semua,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, pada 14 Feb lalu berkata polis membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.

Siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Kabinet turut bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan tersebut sebelum sebarang tindakan susulan diambil. Ia dipengerusikan Dusuki Mokhtar dan dianggotai Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula meminta jawatankuasa khas diberi ruang menyiasat dakwaan itu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Perkara itu dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menetapkan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia dengan syarat pegangan tidak melebihi 5 peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Azam dalam kenyataan berkata beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan dan harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa melalui saluran rasmi.

Beliau juga memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.

+ - reset