TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota tentera maut ketika kursus Armor di Kuantan, kes diklasifikasi mati mengejut

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 20 Feb – Seorang anggota tentera yang sedang mengikuti kursus kru Armor Kelas 1 di Kem Batu 10 dilaporkan meninggal dunia pada petang Khamis selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, mangsa, Truper K Indiran, 22, ditemukan tidak sedarkan diri di kem berkenaan pada Rabu sebelum dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

“Bedah siasat telah selesai dan tiada apa-apa kecederaan fizikal dialami anggota itu. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ketika ini, ahli keluarga mangsa berada di Jabatan Perubatan Forensik HTAA bagi menguruskan proses membawa pulang jasadnya ke Pulau Pinang untuk dikebumikan.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan mengaitkan kematian anggota berkenaan dengan perbuatan buli, namun pihak polis tidak menemui bukti unsur kecederaan fizikal dalam siasatan awal.

Sementara itu, bapa tiri mangsa, L Mathivanan, 35, berkata kali terakhir mereka sekeluarga berhubung dengan Indiran sehari sebelum dia dilaporkan tidak sedarkan diri.

“Kami ada buat panggilan video dan Indiran kelihatan seperti biasa, sihat dan gembira malah merancang untuk membuat perhimpunan keluarga bulan depan.

“Memang terkejut dengan apa yang terjadi, Indiran juga merupakan anak bertanggungjawab dan membantu adik-adik yang masih belajar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTAA.

Indiran merupakan antara 1,144 perajurit muda yang menamatkan latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 200/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson pada 15 September 2024.

Difahamkan, Indiran juga anak kepada Mejar C Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T berhampiran Pangkalan Udara Butterworth pada 2016. Tragedi itu bagaimanapun tidak menghalang Indiran mengikut jejak langkah bapanya menyertai angkatan tentera.

+ - reset