TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Had tempoh Perdana Menteri 10 tahun bermula dengan saya - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LANGAT 20 Feb – Anwar Ibrahim menegaskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun akan terpakai kepada dirinya terlebih dahulu.

Beliau berkata, undang-undang itu tidak akan dibuat untuk dikenakan kepada orang lain semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan dirinya sebagai Perdana Menteri.

“Ia bermula dengan saya. Saya tidak akan membuat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding, hari ini.

Anwar mengulas sama ada had yang dicadangkan itu akan berkuat kuasa serta-merta atau pada masa akan datang.

Menurutnya, cadangan tersebut bertujuan menetapkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri, sekali gus memberi masa mencukupi kepada seseorang pemimpin untuk mentadbir negara dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Sesiapa yang ingin berkhidmat kepada negara dengan ikhlas akan mendapati 10 tahun adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Selepas itu, jawatan itu wajar dibuka kepada rakan-rakan lain untuk meneruskan khidmat,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu boleh dipercepatkan dan sekiranya mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen, ia berkemungkinan diluluskan pada persidangan Parlimen akan datang.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said mengesahkan rang undang-undang untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Menurutnya, bacaan kali kedua bagi kedua-dua rang undang-undang itu dijadualkan pada minggu berikutnya.

Pada 31 Januari lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, sebagai sebahagian agenda reformasi institusi di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.

Anwar sebelum ini dalam Amanat Tahun Baharu 2026 pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan sebagai sebahagian langkah reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan pada sesi Parlimen tahun ini.

Sementara itu, satu sesi perundingan awam yang dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang mendapati sokongan kukuh terhadap cadangan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) bahagian itu, Datuk S Punitha, berkata kajian melibatkan 3,722 peserta melalui tinjauan awam selama seminggu menunjukkan 89.9 peratus bersetuju dengan prinsip mengehadkan tempoh jawatan, 8.27 peratus tidak bersetuju manakala 1.75 peratus tidak pasti.

+ - reset