TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Muhyiddin dakwa wujud gerakan dalaman punca Hamzah dipecat Bersatu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Mac – Gerakan dalaman yang didakwa merosakkan dan memecah-belahkan parti menjadi antara punca utama pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, bekas Timbalan Presiden itu turut didakwa mengadakan pertemuan secara senyap dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan serta kebenaran parti.

Menurutnya, terdapat pelbagai kesalahan lain yang menyebabkan perkara itu dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti sehingga tindakan drastik terpaksa diambil.

“Kesalahan dia banyak, bertimbun sebab itu dibawa ke Lembaga Disiplin. Saya fikir tak wajar nak jelaskan satu persatu sebab sudah ada keputusan atas asas yang kukuh kenapa tindakan itu diambil,” katanya dalam wawancara khas bersama media tempatan di ibu pejabat Bersatu di sini pada Isnin.

Muhyiddin turut merujuk kepada kenyataan Zahid sebelum ini yang mendakwa sudah berjumpa dan berunding dengan Pas dan Bersatu, yang dikaitkan dengan dakwaan ‘Bangkok Move’.

“Dalam kumpulan chat saya tanya, siapa jumpa Zahid? Tak terjawab. Tetapi saya ada maklumat sahih bahawa Hamzah jumpa Zahid. Dalam parti kita ada disiplin, ini isu besar,” katanya.

Tambah beliau, isu pemecatan itu bukan sekadar soal kepimpinan, sebaliknya membabitkan perkara lebih besar termasuk pelanggaran perlembagaan parti, menimbulkan ketidaktenteraman serta merenggangkan hubungan pimpinan dari peringkat tertinggi hingga akar umbi.

Katanya, sebarang rundingan atau perancangan membentuk gabungan baharu perlu mendapat mandat serta kelulusan majoriti pimpinan parti.

“Dia tak boleh memandai-mandai tanpa mandat dan kebenaran. Kalau untuk kebaikan, maklumkan kepada saya sebagai Presiden. Ini bukan perkara kecil.

“Rupanya ada perancangan nak bentuk gabungan, ada yang jadi DPM, yang ini jadi PM. Ini perkara serius. Lembaga Disiplin sudah bertindak atas dasar maklumat yang diperoleh,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan pemecatan Hamzah Zainudin bersama beberapa pemimpin lain mencetuskan perdebatan dalaman parti berkenaan.

+ - reset