TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Laporan siasatan isu saham Azam Baki siap minggu ini - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Mac – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan laporan berkaitan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka siap minggu ini.

Menurut beliau, laporan Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada untuk melanjutkan siasatan atau sebaliknya.

“Siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara itu akan siap minggu ini, dalam beberapa hari. Jadi kita tengok dulu apakah kemunasabahan dan rasional untuk melanjutkan serta dalam bidang apa yang perlu diteliti.

“Jadi saya tidak menerima atau menolak. Biarlah kita ikut prosesnya. Dapat dulu laporan daripada Peguam Negara yang tidak akan tertangguh kerana dimaklumkan laporan akan disediakan dalam tempoh satu atau dua hari ini.

“Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan, itu kita akan lanjutkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (PH-Klang) berhubung tindakan yang boleh dijangka termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dakwaan isu mafia korporat yang dikaitkan dengan Azam.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai cadangan penubuhan RCI berhubung isu pemilikan saham berkenaan.

“Tentang cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bagi kita agak pramatang, terlalu awal,” katanya.

+ - reset