Berita Berita
Anwar, Erdogan gesa semua pihak kawal diri elak ketegangan Asia Barat memuncak
KUALA LUMPUR 6 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berpandangan semua pihak yang terlibat dalam ketegangan di Asia Barat perlu menunjukkan tahap kawalan diri serta kebijaksanaan tinggi bagi mengelakkan konflik terus memuncak.
Perkara itu dibincangkan ketika Anwar menerima panggilan telefon daripada Erdogan malam tadi bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di rantau berkenaan yang semakin tegang susulan beberapa siri serangan.
Anwar berkata, dalam perbualan itu beliau turut menyentuh mengenai insiden pembunuhan beberapa tokoh kanan Iran termasuk Ayatollah Ali Khamenei.
Menurutnya, kejadian tersebut berpotensi menjerumuskan Asia Barat ke dalam situasi yang lebih tidak menentu dan berpanjangan.
“Saya menegaskan bahawa peristiwa itu berisiko membawa rantau Asia Barat ke arah ketidaktentuan yang serius dan berlarutan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Dalam masa sama, Anwar turut menyatakan solidariti Malaysia kepada Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang dikesan menuju ke arah ruang udara negara itu.
Beliau berkata, insiden berkenaan menggambarkan tahap keselamatan di rantau tersebut yang semakin rapuh ketika ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Erdogan yang sering tampil menyuarakan kepentingan dunia Islam di peringkat antarabangsa.
Katanya, Turkiye juga memainkan peranan penting sebagai perantara antara Washington dan Tehran bagi membuka ruang kepada dialog serta penyelesaian secara diplomatik.
“Malaysia menyeru semua pihak supaya meredakan ketegangan dan menghentikan sebarang serangan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih besar melangkaui Asia Barat.
“Pendekatan melalui dialog dan diplomasi mesti diutamakan,” katanya.
Mengulas isu Palestin, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Turkiye dan beberapa negara lain yang mengecam keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.
Beliau menegaskan pendirian Malaysia kekal konsisten bahawa tindakan rejim Zionis tersebut merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa.
Berita berkaitan
March 6, 2026, 9:14 pm
'Azam Baki perlu letak jawatan segera' - BERSIH
March 6, 2026, 8:34 pm
PKR saman 16 bekas wakil rakyat, tuntut RM10 juta setiap seorang
March 6, 2026, 8:13 pm
Keluarga Tun Daim saman Anwar, KPN dakwaan komplot guling kerajaan
March 6, 2026, 5:33 pm
Ibu remaja pandu Honda Jazz hingga ragut 3 nyawa didenda RM1,500
March 6, 2026, 5:19 pm
Harga RON95 masih terkawal walaupun konflik Asia Barat – Anwar
March 6, 2026, 4:51 pm
Kerajaan buat rombakan besar pengurusan tertinggi perkhidmatan awam
March 6, 2026, 4:43 pm
Polis buru dua suspek samun bersenjata parang di Shah Alam
March 6, 2026, 3:20 pm
