Berita Berita
Malaysia serah lelaki Bangladesh didakwa eksploitasi ratusan kanak-kanak kepada FBI
KUALA LUMPUR 6 Mac – Seorang warga Bangladesh yang sebelum ini didakwa di Malaysia atas kesalahan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dalam talian berskala besar telah diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu didedahkan Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel menerusi platform X yang mengesahkan bahawa Zobaidul Amin, 28, telah diekstradisi dan dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia untuk didakwa di mahkamah Alaska, AS, hari ini.
"FBI bersama rakan kerjasama kami menahan lelaki warga Bangladesh yang dikehendaki sejak 2022 atas beberapa pertuduhan termasuk mengendalikan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa.
"Sehingga malam tadi, dia sudah dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia kembali ke AS di Alaska dan akan berdepan pertuduhan di mahkamah hari ini. Maklumat lanjut akan menyusul," katanya hari ini.
Kash turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Pejabat Atase Perundangan (Legat) Kuala Lumpur, atas kerjasama membantu siasatan dan penahanan suspek.
"Terima kasih kepada LEGAT (Atase Undang-undang) Kuala Lumpur, Kerajaan Malaysia dan rakan kerjasama tempatan kami di seluruh negara yang membantu dalam siasatan dan penahanan ini. Terima kasih juga kepada FBI Anchorage atas kerja cemerlang dalam kes ini," katanya.
Pada 2022, Zobaidul Amin yang juga pelajar perubatan sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Suspek berdepan lapan pertuduhan mengarah atau menghasilkan suatu perbuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan aplikasi Snapchat mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, menerusi kenyataan akhbar Pejabat Peguam AS Alaska, lelaki berkenaan akan muncul kali pertama di hadapan Hakim Majistret AS, Kyle F Reardon di Mahkamah Alaska hari ini, selepas pernah didakwa oleh AS pada 2022 kerana mengendalikan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa.
Jika disabitkan kesalahan, Zobaidul Amin boleh berdepan hukuman penjara antara 20 tahun hingga seumur hidup.
Kes ini juga dibawa sebagai sebahagian daripada Project Safe Childhood, satu inisiatif nasional yang dilancarkan pada Mei 2006 oleh Jabatan Kehakiman AS bagi membanteras peningkatan kes eksploitasi seksual kanak-kanak.
Dokumen mahkamah pada Julai 2022 mendedahkan Zobaidul Amin telah didakwa atas pertuduhan berkaitan dakwaan penderaan dan eksploitasi ratusan mangsa bawah umur di Alaska serta di beberapa lokasi lain di AS dan luar negara.
Dia menggunakan aplikasi media sosial, termasuk Instagram dan Snapchat untuk mengenal pasti serta memaksa mangsa bawah umur menghasilkan imej dan video berunsur seksual eksplisit serta perbuatan sadistik.
FBI dan Jabatan Kehakiman AS juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia sejak September 2022 apabila dia didakwa oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia di Mahkamah Sesyen Seremban dengan 13 pertuduhan berkaitan pemilikan dan penghasilan bahan pornografi kanak-kanak.
Zobaidul Amin ketika itu tinggal dan mengikuti pengajian perubatan di sebuah universiti swasta di Malaysia.
Peguam Negara AS, Pamela Bondi, dalam kenyataan media itu juga menyebut, suspek mendera dan mengeksploitasi ratusan mangsa bawah umur di seluruh dunia.
"Pemindahan seorang warga Bangladesh dari Malaysia adalah satu lagi contoh kejayaan usaha pentadbiran ini dalam memburu penjenayah yang bersembunyi di luar negara," katanya.
Peguam AS bagi Alaska, Michael J Heyman, pula menyatakan kes membabitkan lelaki itu dianggap sebagai kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian paling besar yang pernah disaksikan di AS dan mempunyai impak antarabangsa.
Berita berkaitan
March 6, 2026, 9:14 pm
'Azam Baki perlu letak jawatan segera' - BERSIH
March 6, 2026, 8:34 pm
PKR saman 16 bekas wakil rakyat, tuntut RM10 juta setiap seorang
March 6, 2026, 8:13 pm
Keluarga Tun Daim saman Anwar, KPN dakwaan komplot guling kerajaan
March 6, 2026, 5:33 pm
Ibu remaja pandu Honda Jazz hingga ragut 3 nyawa didenda RM1,500
March 6, 2026, 5:19 pm
Harga RON95 masih terkawal walaupun konflik Asia Barat – Anwar
March 6, 2026, 4:51 pm
Kerajaan buat rombakan besar pengurusan tertinggi perkhidmatan awam
March 6, 2026, 4:43 pm
Polis buru dua suspek samun bersenjata parang di Shah Alam
March 6, 2026, 3:20 pm
