TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelakon wanita, suami ditahan semula bantu siasatan penipuan pelaburan lembu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Mac – Polis menahan semula seorang pelakon wanita bersama suaminya bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pasangan berkenaan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.

“Pelakon dan suaminya telah ditangkap oleh BSJK IPD Dang Wangi berkaitan pelaburan dalam penjualan lembu.

“Kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rabu lalu, pasangan itu ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.

Penahanan tersebut susulan laporan polis yang dibuat seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun di Seremban selepas mendakwa ditipu dalam urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor sehingga mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim dilaporkan berkata, pasangan itu sebelum ini direman selama tiga hari sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan pelakon wanita dan suaminya turut disiasat dalam satu lagi kes penipuan berkaitan tawaran darjah kebesaran yang melibatkan kerugian kira-kira RM23,000.

Menurut Azahar, polis menerima laporan berkaitan kes tersebut pada 18 Disember tahun lalu.

Reman pasangan berkenaan kemudiannya disambung sehari lagi bagi melengkapkan siasatan.

+ - reset