TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir ucapan takziah pemergian Syed Muhammad Naquib Al-Attas

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 9 Mac – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Profesor Diraja yang juga tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada petang Ahad.

Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

“Sultan Pahang dan Tengku Ampuan juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah menghadapi kehilangan insan tersayang,” titah baginda menerusi satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang pada Isnin.

Pada Oktober 2024, Allahyarham dikurniakan gelaran Profesor Diraja atas sumbangannya terhadap negara dalam bidang pendidikan Islam oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Gelaran Profesor Diraja merupakan anugerah tertinggi yang dikurniakan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong kepada ahli akademik yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat serta kemajuan negara.

Sebelum ini, tokoh yang pernah menerima gelaran berkenaan hanyalah Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1978.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia turut mengasaskan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) serta memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang memberi pengaruh besar dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, teologi dan pendidikan.

Sepanjang kerjaya ilmiahnya, beliau menghasilkan lebih 30 buku dan monograf yang menjadi rujukan penting dalam kajian peradaban serta falsafah Islam.

+ - reset