TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Keputusan SPM 2025 diumum 31 Mac

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 9 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 akan diumumkan pada 31 Mac ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 413,299 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurut KPM, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah mulai pukul 10 pagi pada tarikh berkenaan.

“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mendaftar untuk memperoleh keputusan peperiksaan.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya.

Tambah kenyataan itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my bagi mendapatkan slip keputusan bermula pukul 10 pagi, 31 Mac hingga pukul 6 petang, 6 April depan.

“Semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM jarak NoKP jarak AngkaGiliran dan menghantarnya ke 15888.

“Sistem tersebut akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi, 31 Mac hingga pukul 6 petang, 6 April,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KPM turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM Tahun 2025 serta berharap kejayaan yang dicapai menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

+ - reset