TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut kereta terbabas jatuh gaung di jalan lama Genting Sempah

By
|
Kongsi
image

GOMBAK 9 Mac  – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 80 meter di Jalan Lama Genting Sempah menghala ke Gombak, di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.46 malam.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai berkenaan.

“Mangsa lelaki berusia 56 tahun dipercayai tercampak keluar dari kereta Perodua Kancil yang dipandunya sebelum kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung.

“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi membawa naik mangsa dari kawasan gaung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pukul 1.15 pagi tadi.

Kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

+ - reset