TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Syahredzan gesa tindakan tegas isu hina simbol suci Hindu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Mac – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menggesa tindakan segera diambil terhadap individu yang didakwa menghina simbol suci agama Hindu, Trisula, dalam satu insiden yang mencetuskan kemarahan masyarakat.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau dan tidak boleh dikompromi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, apatah lagi ketika hubungan antara kaum dilihat berada dalam keadaan sensitif.

“Saya memandang serius insiden ini dan mengutuk keras tindakan yang melampau ini, sama seperti kecaman saya terhadap penghinaan ke atas kitab suci al-Quran bulan lepas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, insiden tersebut telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan penganut Hindu sehingga beberapa laporan polis dibuat terhadap individu terbabit.

Tegasnya, sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum perlu ditangani secara serius tanpa mengira latar belakang atau sentimen politik.

“Apa-apa perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan dan sebarang hinaan serta provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Isu penggunaan tanah dan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan tidak sama sekali mewajarkan tindakan seperti ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kegagalan pihak berkuasa bertindak pantas boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta membuka ruang kepada tindakan di luar batas undang-undang.

“Jika tidak, keyakinan orang ramai terhadap pihak berkuasa akan terhakis dan ada pihak yang mengambil tindakan sendiri.

“Kita tidak mahu negara terjerumus dalam kancah huru-hara disebabkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Syahredzan menyeru kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perpaduan supaya mempergiat usaha meredakan ketegangan menerusi dialog antara agama.

“Saya juga mengulangi seruan supaya satu perjumpaan diadakan dalam kalangan wakil agama bagi meredakan ketegangan yang tercetus mutakhir ini,” katanya.

Beliau menegaskan isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana kebencian yang dibiarkan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat yang telah lama dibina.

“Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara. Ini tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak mencetuskan kontroversi selepas tular satu klip video yang didakwa memaparkan individu memijak simbol Trisula atau soolam di lokasi tidak dikenal pasti sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat Hindu.

+ - reset