TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bayi maut di taska: Bapa dakwa kulit kepala anak cedera akibat hentakan objek tumpul, nekad tuntut keadilan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Mac – Seorang bapa meluahkan rasa terkejut dan sedih apabila hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kecederaan mencurigakan pada tubuh bayi lelakinya yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Bapa mangsa, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata kecederaan tersebut melibatkan bahagian kepala, mata, hidung serta bahagian kanan muka bayi berusia empat bulan itu, Hayl Haarith.

“Selepas bedah siasat, terdapat beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan di bahagian kepala, mata, hidung dan bahagian kanan muka,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan di sini pada Selasa.

Menurutnya, selain kecederaan tersebut, turut ditemui luka pada kulit kepala anaknya yang dipercayai akibat hentakan objek tumpul.

“Selain itu, terdapat luka pada kulit kepala yang seolah-olah terkena hentakan objek tumpul,” katanya.

Mohd Syafaeez berkata, pada awalnya dia menyangka kematian anak sulungnya itu adalah kematian biasa selepas dimaklumkan oleh pihak taska bahawa bayi berkenaan lemas ketika tidur.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang diterima kemudian menimbulkan tanda tanya terhadap punca sebenar kematian.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, dia sempat membuat panggilan video bersama anaknya yang ketika itu kelihatan ceria sebelum isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, masuk bertugas sebagai jururawat.

Namun katanya, suasana berubah apabila dia menerima panggilan telefon daripada pihak taska kira-kira jam 4 pagi yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.

Berita duka itu kemudiannya disahkan oleh isterinya sekitar jam 5.40 pagi yang memaklumkan bahawa bayi mereka telah meninggal dunia.

Mohd Syafaeez yang bekerja sebagai peniaga di Terengganu menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan individu yang bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku penderaan terhadap anaknya.

“Saya sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan itu kerana ia tidak berperikemanusiaan dan saya berikrar akan menuntut keadilan agar nasib sama tidak menimpa keluarga lain,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat membawa anak dan isterinya membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri.

“Saya rasa sedih dan terkilan sebab hasrat untuk membeli pakaian raya bersama-sama tidak kesampaian. Saya pasrah atas apa yang berlaku,” katanya.

Jenazah Hayl Haarith selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut dan Rhu Redang kira-kira jam 10 pagi pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang.

Kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas keluarga bayi berkenaan mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pusat jagaan itu menunjukkan terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.

+ - reset