TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bicara Muhyiddin: Akaun BERSATU terima RM19.3 juta cetus ‘Red Flag’, dilapor kepada BNM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Mac: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menerima sebanyak RM19.3 juta melalui 28 transaksi cek enam tahun lalu telah mencetuskan petanda amaran mencurigakan sebelum dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Perkara itu dimaklumkan Pengurus Kewangan CIMB Bank Cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee pada hari kedua perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata beliau telah memfailkan laporan Suspicious Transaction Report (STR) atau Laporan Transaksi Mencurigakan kepada ibu pejabat bank sebelum disalurkan kepada BNM berkaitan transaksi tersebut.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mahadi Abdul Jumaat dalam sesi pemeriksaan utama, Hui Nee bersetuju bahawa sepanjang tempoh 2020 hingga 2021 tiada mana-mana penandatangan akaun BERSATU memaklumkan kepada pihak bank untuk menghentikan sebarang kemasukan wang ke dalam akaun berkenaan.

Ketika ditanya bagaimana petanda amaran mencurigakan (red flag) boleh berlaku dalam sesuatu akaun bank, saksi itu menjelaskan ia berlaku apabila terdapat transaksi yang terlalu tinggi dan tidak selari dengan profil akaun.

“akaun yang ada transaksi jumlah yang sangat tinggi (high volume) dan tidak konsisten dengan profil akaun,” katanya.

Beliau berkata sistem bank akan mengesan red flag tersebut sebelum pihak cawangan melakukan semakan lanjut serta memfailkan laporan STR.

Menjawab soalan lanjut mengapa akaun tersebut dianggap tidak konsisten, Hui Nee berkata ia disebabkan kekerapan kemasukan wang dalam jumlah yang sangat besar.

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksi, beliau berkata selain Muhyiddin, pemohon bagi pembukaan akaun itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Kamarulzaman Habibur Rahman dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, pada 1 Disember 2020, penandatangan akaun itu bertukar kepada Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri.

Menurut saksi, wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun semasa parti yang dikategorikan sebagai ‘pelabur’ dan jenis perniagaan sebagai parti politik antara 24 Ogos 2021 hingga 11 November 2022.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, RM4 juta dimasukkan oleh seorang individu iaitu Datuk Azman Yusoff melalui empat transaksi manakala RM1 juta lagi dimasukkan oleh syarikat Mamfour menerusi satu transaksi.

Ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Hui Nee berkata laporan STR akan dikeluarkan setiap kali pihak bank mengesan red flag pada sesuatu akaun.

“Oleh itu, kewajipan bank adalah untuk menyerahkan laporan kepada BNM,” katanya.

Apabila ditanya sama ada pihak bank mempunyai kuasa untuk menghalang wang dari luar dimasukkan ke dalam akaun BERSATU, saksi menjawab pihak bank tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

“tidak boleh,” katanya.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin mengenai jumlah wang yang dimasukkan ke akaun berkenaan, saksi memaklumkan ia mencecah puluhan juta ringgit dan berlaku selepas 1 Disember 2020.

Sementara itu, ketika sesi soal balas oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi bersetuju bahawa tiada sebarang laporan STR dikemukakan di mahkamah.

Beliau turut mengakui tidak mengetahui tindakan yang diambil oleh BNM selepas laporan tersebut diserahkan serta tidak boleh membuat kesimpulan bahawa transaksi itu menyalahi undang-undang tanpa laporan rasmi daripada bank pusat.

Amer Hamzah: Saya cadangkan, jika STR dikemukakan, ia tidak bermakna berlaku kesalahan mengikut undang-undang?

Hui Nee: Keputusan muktamad terletak pada BNM.

Amer Hamzah: Hanya BNM yang boleh menentukan sama ada terdapat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang?

Hui Nee: Ya setuju.

Amer Hamzah: Jadi, kita tidak sepatutnya membuat kesimpulan bahawa transaksi itu menyalahi undang-undang, setuju?

Hui Nee: Setuju.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden BERSATU berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Ambank dan CIMB Bank milik BERSATU di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

+ - reset