TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Krisis minyak 2026: Thailand mulakan langkah penjimatan, arah agensi kerajaan laksana WFH

By
|
Kongsi
image

 

BANGKOK 10 Mac – Kerajaan Thailand mengarahkan agensi kerajaan serta perusahaan milik negara melaksanakan pengaturan kerja dari rumah (WFH) sebagai langkah menjimatkan penggunaan tenaga susulan ketegangan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.

Arahan tersebut dikeluarkan Perdana Menteri sementara Thailand, Anutin Charnvirakul bagi memastikan pengurusan sumber tenaga sektor awam dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand Lalida Prertwiwatthana berkata, arahan itu terpakai kepada jabatan yang pelaksanaan WFH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga mengarahkan agensi kerajaan menangguhkan lawatan sambil belajar ke luar negara selain memastikan program latihan serta aktiviti seumpamanya dilaksanakan di dalam negara.

"Semua agensi telah diarahkan untuk melaksanakan langkah ini sambil memastikan perkhidmatan awam terus tidak terjejas," kata Lalida dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.

Beliau menambah pihak berkuasa akan memantau dengan teliti perkembangan situasi ekonomi dan tenaga global bagi memastikan dasar dapat diselaraskan secara tepat pada masanya.

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Jurucakap Kerajaan, Airin Phanpharit berkata purata permintaan harian Thailand bagi produk minyak ditapis adalah kira-kira 124 juta liter.

Menurutnya, setakat 5 Mac, jumlah rizab minyak negara mencecah 8.055 bilion liter manakala purata penggunaan produk minyak bertapis adalah sekitar 3.13 juta tong sehari.

Bagaimanapun, katanya Thailand masih bergantung kepada import minyak mentah khususnya dari Asia Barat.

Beliau menambah Thailand kini mempunyai kira-kira 8.054 bilion liter rizab minyak termasuk rizab berkanun dan komersial yang mampu memenuhi keperluan tenaga negara pada tahap tertentu.

"Namun Kementerian Tenaga telah mencadangkan langkah penjimatan tenaga tambahan untuk agensi kerajaan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap dan menjadi contoh kepada sektor masyarakat lain," katanya.

+ - reset