TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JIM gempur ‘Mini Dhaka’ di Lebuh Pudu, 823 warga asing diperiksa

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Mac – Kawasan sekitar Lebuh Pudu yang sering digelar sebagai ‘mini Dhaka’ terus menjadi tumpuan pemantauan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) susulan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijalankan sebelum ini.

Pemeriksaan yang bermula kira-kira jam 2.45 petang pada Selasa melibatkan kawasan dari sekitar Masjid Jamek hingga ke Jalan Silang dan dilaksanakan menerusi tindakan Inspektorat Penguatkuasaan JIM Putrajaya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 823 warga asing diperiksa secara rawak sepanjang operasi berkenaan.

“Kesemua warga asing yang diperiksa mempunyai pas lawatan dan dokumen yang sah untuk berada di dalam negara ini sama ada untuk bekerja atau melancong.

“Pemeriksaan hari ini melibatkan warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan juga Jerman. Keberadaan mereka di sini didapati secara sah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi tersebut.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman.

Mengulas lanjut, Lokman berkata operasi seumpama itu dijalankan setiap hari di seluruh negara dengan memberi fokus kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan semua warga asing yang berada di negara ini mematuhi undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai sedia maklum bahawa lokasi ini (Jalan Silang) merupakan salah satu ‘hotspot’ yang menjadi tempat kunjungan warga asing. Kita ada banyak hotspot dan setiap kawasan ini tidak bebas atau berleluasa untuk melakukan kesalahan imigresen.

“Pihak JIM akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas semua kawasan-kawasan ini dari semasa ke semasa,” ujarnya.

+ - reset